KUCHING: Bazar Ramadan Hospital Umum Sarawak (HUS) kembali untuk edisi keempat dengan menampilkan 33 gerai, termasuk trak makanan, bermula dari 3 hingga 30 Mac 2025.
Program tahunan ini dianjurkan melalui kerjasama antara Meditel dan Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Tujuannya adalah untuk menyediakan juadah berbuka puasa yang berkualiti kepada warga hospital serta pengunjung.

Menurut Pengarah HUS, Dr. Ngien Hie Ung, aspek kebersihan merupakan keutamaan dalam penganjuran bazar ini. Kesemua peserta diwajibkan memenuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan.
“Semua vendor yang mengambil bahagian telah memperoleh Sijil Pengendalian Makanan dan menerima Vaksinasi Tifoid, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) hospital.
“Langkah ini penting bagi memastikan makanan yang dijual selamat dan berkualiti. Kami mahu semua pelanggan menikmati hidangan berbuka puasa tanpa sebarang kebimbangan terhadap kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan 2025 di tapak bazar Meditel, HUS, di sini, hari ini.
Tambahnya, selain memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa, penganjuran bazar ini juga bertujuan membuka peluang kepada peniaga tempatan untuk menjana pendapatan tambahan.
“Pengunjung hospital, terutamanya ahli keluarga pesakit yang menunggu di hospital, turut mendapat manfaat daripada bazar ini tanpa perlu bersusah payah mencari makanan di tempat lain.
“Dalam masa yang sama, ini mengurangkan keperluan komuniti hospital untuk keluar ke bazar lain, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan,” ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk datang memeriahkan bazar tersebut yang beroperasi dari jam 1.30 petang hingga 7.30 malam di kawasan Meditel, HUS.



