DUNIA muzik tempatan digemparkan dengan satu fenomena luar biasa apabila kumpulan hip-hop misteri bertopeng, K.O.I (Konflict Of Interest), mencipta kejutan besar dalam industri muzik tanah air.
Tanpa diduga ramai pihak, kumpulan muzik yang dahulunya kurang dikenali dan bergerak jauh daripada liputan media arus perdana itu dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) menerusi lagu ciptaan mereka berjudul Tiwikarma.
Kemenangan dramatik itu bukan sahaja membuktikan bahawa kualiti seni mampu mengatasi populariti nama besar, malah membawa nafas baharu yang sarat dengan mesej mendalam serta nilai estetika tinggi ke pentas muzik tanah air.
Sebelum mencapai puncak kejayaan di pentas berprestij tersebut, K.O.I memulakan langkah dalam arena muzik tempatan sekitar 2024 sebagai kumpulan rap dan rap-rok alternatif.
Kumpulan itu dibentuk menerusi gabungan beberapa bakat unik dan berkualiber yang terdiri daripada Achoi, yang juga anggota kumpulan Floor 88, Mya Nana, Khaza Raltex, Tuan Nicky dan Hemo Globin.
Bergerak secara perlahan tetapi konsisten, mereka mula membina kelompok pendengar tersendiri menerusi penerokaan bunyi yang berani serta lirik yang sarat dengan pemikiran kritis, sekali gus membina asas kukuh sebelum melonjak ke persada muzik kebangsaan.
Keunikan utama yang menjadi identiti K.O.I terletak pada penampilan mereka yang sentiasa bertopeng dan menyembunyikan wajah sebenar daripada khalayak.
Keputusan untuk mengekalkan imej misteri itu bukan sekadar gimik pemasaran untuk meraih perhatian, sebaliknya mempunyai falsafah seni yang mendalam.
Menurut anggota kumpulan itu, topeng berkenaan menjadi simbol agar peminat dan pendengar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kualiti muzik, keindahan lirik serta mesej sosial yang disampaikan, bukannya kepada populariti atau rupa paras semata-mata.
Selain penampilan yang unik, nama kumpulan itu turut mempunyai kisah asal usul yang menarik.
Pada awal penubuhannya, studio latihan mereka terletak berhampiran sebuah masjid. Apabila jemaah bertanyakan nama studio berkenaan, mereka menjawab secara spontan dengan frasa Kami Orang Islam yang kemudiannya disingkatkan menjadi K.O.I.
Bagaimanapun, apabila mula melangkah ke industri arus perdana, mereka menukar makna singkatan itu secara rasmi kepada Konflict Of Interest bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat, termasuk tanggapan bahawa mereka menggunakan agama untuk meraih perhatian.
Langkah itu juga bertujuan memastikan karya mereka dinilai secara neutral dan terbuka oleh pelbagai lapisan pendengar.
Dari sudut muzik, K.O.I enggau terikat pada satu genre sahaja kerana mereka mengamalkan kebebasan berkarya tanpa perlu mengikut formula komersial yang lazim.
Walaupun teras utama muzik mereka berasaskan rap dan hip-hop, mereka turut menggabungkan pelbagai elemen lain, termasuk pengaruh rok, bunyi tradisional serta isu sosial semasa.
Keberanian itu diperkukuh dengan persembahan pentas yang dramatik dan bersifat teaterikal. Persembahan lagu Tiwikarma di AJL40, misalnya, digarap dengan elemen visual, lakonan teater serta naratif yang menyentuh penderitaan dan nilai kemanusiaan.
Di sebalik kejayaan lagu Tiwikarma yang menjulang nama mereka, terdapat kisah penciptaan yang menarik apabila lirik lagu itu dihasilkan dalam keadaan tergesa-gesa dan spontan.
Penulis lirik lagu berkenaan, Tuan Nicky atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 29, mendedahkan bahawa lirik tersebut disiapkannya dalam tempoh 30 minit sahaja.
Ketika itu, beliau menerima pelawaan daripada Achoi untuk menyertai projek berkenaan ketika sedang menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan. Beliau kemudian bergegas ke bahagian belakang dewan untuk menaip lirik menerusi telefon bimbit sebelum menghantarnya kepada Achoi.
Penciptaan lirik secara spontan tanpa perancangan panjang itu akhirnya membuahkan hasil apabila Tiwikarma berjaya menewaskan finalis lain di pentas AJL40.
Kumpulan yang suatu ketika dahulu kurang dikenali kini menjadi buah mulut peminat muzik tanah air selepas diumumkan sebagai juara keseluruhan dan membawa pulang trofi utama.
Kejayaan K.O.I bukan sahaja membuktikan kekuatan seni mereka di sebalik topeng, malah memberikan inspirasi baharu kepada penggiat muzik indie dan alternatif bahawa karya yang jujur dan berkualiti tetap mempunyai tempat dalam industri muzik tanah air.



