SARATOK: Komitmen tinggi pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam membanteras jenayah membuahkan hasil apabila daerah itu mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 24 peratus.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, aspek keselamatan dan ketenteraman awam terus menjadi keutamaan pihaknya melalui usaha pencegahan yang dilaksanakan secara berterusan, bersepadu dan berkesan.
“Hasil pelbagai operasi cegah jenayah sepanjang tahun lalu menyumbang kepada penurunan sebanyak 17 kes atau 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan setiap pegawai dan anggota sentiasa memberikan komitmen penuh serta kerjasama jitu dalam menangani jenayah bagi memastikan masyarakat sentiasa berasa selamat dan dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Januari IPD Saratok di padang kawad, hari ini.
Jelasnya, sepanjang tahun lalu juga, seramai 116 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
“Daripada jumlah tersebut, lebih 50 peratus ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Ini merupakan kejayaan membanggakan bagi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Saratok dan operasi seumpama ini akan dipergiatkan pada masa hadapan.
“Pendekatan menangani penyalahgunaan dadah secara menyeluruh akan terus digerakkan melalui penguatkuasaan, risikan berkesan serta kerjasama erat dengan agensi berkaitan tanpa sebarang kompromi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru warganya agar lebih peka terhadap perkembangan politik dan ekonomi setempat memandangkan faktor tersebut mempunyai perkaitan rapat dengan kesejahteraan serta kestabilan masyarakat.
“Dalam konteks organisasi, tahap disiplin hendaklah sentiasa dipertingkatkan dalam kalangan semua warga IPD Saratok.
“Saya percaya, disiplin, integriti serta profesionalisme merupakan asas kepada kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis,” tambahnya.
Pada majlis sama, turut diadakan upacara pemakaian pangkat kepada anggota yang dinaikkan pangkat, selain penyampaian Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah Saratok kepada dua pegawai kanan, lima anggota dan tiga pegawai awam.



