KUCHING: KAJAS 12 muncul juara Sepak Takraw Piala Mas Gading Bau 2026 selepas menewaskan ATC A 15-7, 15-10 dalam perlawanan final di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, Bau, Ahad lalu.
Kemenangan dua set berturut-turut itu membolehkan KAJAS 12 mengatasi 19 pasukan lain dari pelbagai daerah di Sarawak, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.

ATC A menjadi naib juara dan menerima RM600, piala dan pingat, manakala ARC B serta KANOLI berkongsi tempat ketiga dan masing-masing memperoleh RM300 berserta piala dan pingat.
Kejohanan yang berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober itu menghimpunkan 20 pasukan dari Miri, Bintulu, Lubok Antu, Balai Ringin, Sibu, Kuching, Bau, Lundu dan Sematan, sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan terhadap pertandingan sepak takraw berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Pertandingan, Mohd Syahril Adzhar Hossini berkata, kejayaan penganjuran tersebut membuktikan komitmen serta kerjasama erat semua pihak dalam menyediakan platform persaingan kepada pasukan sepak takraw dari seluruh Sarawak.
“Alhamdulillah, kejohanan Sepak Takraw Piala Mas Gading Bau dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurutnya, penganjuran pertandingan itu bukan sekadar memberi peluang kepada pasukan menguji kemampuan dan merebut gelaran juara, malah menjadi medium untuk memperkukuh hubungan persaudaraan dalam kalangan pemain serta komuniti sepak takraw.
“Ingat, dalam menganjurkan kejohanan, bukan kemenangan semata-mata yang kita cari, tetapi semangat kesukanan, perpaduan dan silaturahim yang berkekalan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan pasukan dari pelbagai kawasan turut membuka ruang kepada pemain untuk bertukar pengalaman dan membina hubungan yang lebih erat melalui persaingan yang sihat.
“Diharap kejohanan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan, selain menggalakkan lebih banyak kerjasama antara penganjur dan komuniti sepak takraw bagi memperluas penyertaan,” katanya.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Biro Sukan dan Rekreasi Surau Darul Muttaqin Taman Mutiara, Bau, dengan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.






