MUKAH: Seorang pemandu lori mengalami sakit kepala selepas lori yang dipandunya terbalik di tepi jalan berikutan kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 28, Jalan Balingian-Kuala Balingian, Balingian, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang dan melibatkan sebuah bas ekspres jenis Hino dan lori kecil tiga tan jenis Toyota.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bas ekspres yang dalam perjalanan dari Mukah ke Bintulu dipercayai cuba memotong lori kecil yang berada di hadapannya.

“Pada masa sama, lori kecil tersebut dipercayai sedang membelok ke kanan.
“Keadaan itu menyebabkan bas ekspres berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori kecil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Rizal berkata, akibat perlanggaran itu, lori kecil berkenaan hilang kawalan sebelum terbalik di tepi jalan.

Pemandu lori berusia 53 tahun yang mengalami sakit kepala itu kemudian dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu bas ekspres bersama 12 penumpang dalam bas berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Semua penumpang bas ekspres itu kemudian dipindahkan ke sebuah bas lain bagi meneruskan perjalanan ke Bintulu.
Menurut Rizal, keadaan jalan di lokasi kejadian lurus, dua hala, rata dan kering.
“Kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan pada bahagian hadapan bas ekspres, manakala lori kecil mengalami kerosakan pada bahagian belakang dan bumbung.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Polis menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat diarahkan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.
Polis turut mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.
Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Jimmy Langan, menerusi talian 011-15616525.






