ARTIKEL

KAJI PENDIDIKKAN BANGSA JEPUN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUKU Pendidikan Holistik Model Jepun karya Rosnani Hashim bukan sahaja sebuah kajian akademik yang mendalam tentang sistem pendidikan Jepun, tetapi juga satu perkongsian peribadi yang berharga berdasarkan pengalaman penulis dalam mengkaji pendidikan bangsa Jepun.

Melalui tulisan ini, penulis mendedahkan pengalaman beliau dalam memahami dan menganalisis kejayaan Jepun, sebagai sebuah negara yang terkenal dengan kemajuan teknologi dan ekonomi, dalam mengaplikasikan sistem pendidikan yang holistik dan seimbang, yakni sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada pembangunan insan secara menyeluruh. Buku yang terdiri daripada 11 bab ini membawa pembaca menyelami pengalaman pendidikan di Jepun yang membentuk masyarakatnya menjadi bangsa yang maju dalam semua aspek kehidupan.

Rosnani Hashim memulakan perbincangan dengan membincangkan konsep pendidikan dalam perspektif sosial dan individu, yang tidak terhad kepada pengajaran ilmu sematamata, tetapi turut melibatkan pembentukan nilai-nilai murni dan peribadi unggul.

Penulis menyatakan bahawa pendidikan ialah satu proses berterusan yang bukan sahaja melibatkan pembelajaran formal di sekolah, tetapi juga melalui pelibatan dalam pelbagai institusi sosial dan masyarakat seperti keluarga, media dan pusat-pusat agama.

Salah satu aspek yang sangat menarik dalam buku ini adalah cara penulis mengaitkan pendidikan holistik dengan pengalaman bangsa Jepun.

Penulis berpendapat bahawa pendidikan holistik bukan sahaja merangkumi kurikulum atau sistem pengajaran, tetapi juga dalam konteks budaya dan nilai hidup masyarakat Jepun.

Menurut penulis, pendidikan di Jepun berjaya membentuk individu yang bukan sahaja pintar secara intelektual tetapi juga memiliki jati diri yang kukuh, bertanggungjawab dan beradab.

Sistem pendidikan mereka memberi perhatian yang seimbang kepada semua dimensi insan — jasmani, intelektual, sosial, emosi dan rohani.

Hal ini jelas tercermin menerusi cara didikan kepada generasi muda untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab, berdisiplin dan menghormati tradisi serta nilai ketimuran mereka.

Salah satu elemen penting yang diketengahkan dalam buku ini juga adalah penekanan kepada nilai-nilai yang diterapkan dalam sistem pendidikan Jepun. Walaupun negara ini sangat maju dalam bidang teknologi, rakyat Jepun masih memelihara nilainilai tradisional yang sangat dihormati seperti rasa malu, rendah diri dan budi pekerti yang luhur.

Pendidikan di Jepun tidak hanya menekankan kemahiran teknikal dan pengetahuan akademik, tetapi juga memupuk kesedaran sosial, menghargai keharmonian dalam masyarakat dan membina peribadi yang baik.

Nilai-nilai ini diterapkan sejak kecil, terutamanya melalui pendidikan di peringkat kanak-kanak, iaitu anak-anak diajar bukan sahaja untuk berjaya dalam pelajaran, tetapi juga untuk menjadi individu yang baik dan berguna kepada masyarakat.

Penulis turut mengaitkan sistem pendidikan Jepun dengan kejayaan negara tersebut dalam mencapai kesejahteraan sosial dan ekonomi.

Jepun telah mencatatkan kejayaan yang luar biasa dalam bidang seperti teknologi, perindustrian dan penjagaan kesihatan, namun mereka tidak mengabaikan aspek nilai-nilai murni dan kerohanian.

Di sebalik pencapaian tersebut, rakyat Jepun masih mengekalkan budaya dan tradisi yang menjunjung tinggi kesopanan, saling menghormati dan berpegang kepada prinsip-prinsip moral yang kuat.

Kejayaan Jepun dalam menggabungkan pendidikan moden dengan nilai-nilai tradisional ini menjadi satu contoh yang sangat baik bagi negara lain, termasuk Malaysia, untuk diteladani.

Buku ini juga membawa perbandingan yang menarik antara sistem pendidikan Jepun dengan pendidikan di Malaysia. Penulis mengakui bahawa Malaysia telah merumuskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan niat untuk melahirkan rakyat yang holistik, tetapi setakat ini, pencapaian tersebut masih belum sepenuhnya tercapai. Walaupun aspek kognitif dan rohani diberikan penekanan, masih banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam membentuk sahsiah dan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar Malaysia.

Penulis menegaskan bahawa pendidikan di Malaysia harus menekankan aspek pembentukan peribadi, adab dan moral untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menjadi individu yang seimbang dan berkualiti, sama seperti masyarakat Jepun.

Melalui pengalaman beliau yang mendalam tentang pendidikan Jepun, Rosnani Hashim menunjukkan bahawa pendidikan holistik bukan sekadar konsep teori, tetapi ia harus diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Buku ini memberikan gambaran yang jelas tentang peranan pendidikan yang menyeluruh dalam membentuk individu yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki peribadi yang baik, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Saya percaya, inilah mesej utama yang ingin disampaikan oleh penulis, yang diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada pendidik dan pemimpin pendidikan di Malaysia untuk terus berusaha memperbaiki sistem pendidikan agar lebih holistik, seimbang dan berkesan.

Secara keseluruhannya, Pendidikan Holistik Model Jepun bukan sahaja sebuah karya ilmiah, tetapi juga satu refl eksi peribadi yang penuh dengan pengajaran dan teladan. Buku ini mengajak kita untuk melihat lebih jauh, melangkaui pencapaian akademik semata-mata dan memahami betapa pentingnya pendidikan yang melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, penghayatan agama dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU