KUCHING: Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengalu-alukan rakyat Sarawak yang ingin berhimpun untuk menyatakan sokongan tanda solidariti bersama rakyat Palestin di negeri ini.
Justeru, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata beliau sanggup mengeluarkan permit untuk berhimpun di Padang Perayaan (Celebration Square) berdekatan Stadium Kuching di sini untuk perhimpunan tersebut.
Beliau berkata, isu perjuangan Palestin bukannya masalah keagamaan tetapi lebih kepada perjuangan untuk membebaskan tanah air mereka.
“Perhimpunan ini adalah melibatkan mereka yang beragama Islam dan bukan Islam.
“Oleh itu, jika rakyat Sarawak ingin menganjurkan solidariti, mereka boleh menggunakan dataran perayaan, saya akan memberi permit untuk menganjurkan perhimpunan berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan solidariti bersama Palestin yang dibatalkan atas sebab-sebab tertentu, minggu lalu.
Sementara itu, Karim juga menyatakan kerisauan tentang sektor pelancongan di Sarawak yang agak sedikit terjejas akibat daripada peperangan di Timur Tengah.
Bagaimanapun katanya, ia lebih menjejaskan ekonomi negara dan industri pelancongan di Semenanjung Malaysia.



