KOTA SAMARAHAN: Karnival Futsal Piala Remaja Bawah 15 dan 16 Tahun 2025, yang dijadual berlangsung pada 18 Mei depan di Pusat Sukan Stakan, telah menerima sambutan yang luar jangkaan.
Sejak penyertaan dibuka dua minggu lalu, lebih dua puluh pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka. Acara ini menghimpunkan 13 pasukan dalam kategori Bawah 15 Tahun, berbanding lapan pasukan dalam kategori Bawah 16 Tahun.
Pengerusi Karnival, Abdul Muhtalip Tegak, menyatakan pihaknya teruja melihat sambutan yang diberikan oleh pasukan-pasukan setakat ini.
“Kita percaya jumlah pasukan yang menyertai akan terus bertambah memandangkan masih ada masa sebelum pendaftaran ditutup sepenuhnya,” ujar Muhtalip kepada Arena Suara Sarawak.
“Pasukan yang ingin mendaftar boleh menghubungi saya di talian 012-8844581. Yuran pendaftaran untuk setiap pasukan ialah RM250,” tambah beliau.
Karnival ini dianjurkan oleh V-Foss FC dan menyediakan hadiah lumayan untuk tiga pasukan terbaik. Pasukan juara akan menerima wang tunai RM700, piala, dan pingat, manakala naib juara akan menerima RM350 beserta piala dan pingat.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM200 dan piala sebagai pemenang tempat ketiga bersama.






