ARTIKEL

Gambar Hiasan - Freepik

Kasih dalam makanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lepas, saya dan tiga kawan pergi ke salah sebuah kedai makan baharu. Sehingga ke hari ini, mungkin sudah dibuka dua bulan.

Saya ada seorang kawan yang terlalu taasub mencuba menu tular.

Setiap kali ada menu tular atau kedai baharu, dia orang pertama yang mahu mencuba dan mengajak kami ke kedai berkenaan.

Terletak di sekitar Kuching, agak jauh dari pejabat. Kedai itu memperkenalkan menu ayam gepuk — masakan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sekarang di kebanyakan kedai di Kuching.

Sebaik melangkah masuk, kawan saya bersungguhsungguh meyakinkan kami, ia sedap seperti yang ditontonnya di media sosial.

Kami pun memesan menu sama dan seronok berbual.

Selepas 15 minit, makanan belum sampai. Ketika itu, tidak banya pelanggan.

Ada dua tiga meja yang penuh. Selepas 30 minit, makanan pun sampai.

Cuba kalian bayangkan dalam gambar buku menu kelihatan premium.

Ayam gepuknya kelihatan rangup di luar dan empuk di dalam, sambal cilinya bercahaya merah dan sambal kacang gajusnya kelihatan berlemak.

Tetapi yang terhidang di depan kami berbeza sama sekali.

Ayam digoreng ala kadar, sambalnya tidak seperti yang dibayangkan dan sambal kacang gajusnya kelihatan bukan seperti kacang gajus tetapi kacang biasa.

Oleh kerana kami sudah memesan, justeru tidak elok rasanya dibiarkan sahaja.

Tidak manis untuk marah dengah rezeki di depan mata. Yang menarik perhatian saya, cara orang yang menghidangnya.

Wajahnya dan caranya meletak pinggan di depan pelanggan. Cubalah senyum sedikit, letakkan pinggan bagus manis di depan pelanggan, bukannya wajah mencuka dan memberi bahasa tubuh kurang menyenangkan.

Ingatlah, pelanggan datang ke kedai makan membawa rezeki dan biasanya pelanggan akan datang semula jika layanan bagus dan makanan sedap.

Tidak semua yang dihidang itu benar-benar menjamu selera. Ada waktunya, walau perut lapar, pelanggan pulang dengan hati yang lebih kosong daripada sebelum menjamah apa-apa.

Semuanya kerana layanan yang hambar, hidangan ala kadar dan sikap pekerja yang seolah-olah lupa yang keuntungan perniagaan dari kocek pelanggan.

Kami tidak meminta layanan beralas baldu atau sambutan bak tetamu diraja.

Cukuplah dengan senyuman, sapaan ringkas yang ikhlas dan hidangan yang menunjukkan niat mahu memberi makan pelanggan yang mengeluarkan belanja.

Layanan yang dingin, muka masam, dan pesanan yang dihantar sambil lewa dengan bahasa tubuh yang kurang sopan akan menjengkelkan pelanggan.

Perniagaan makanan bukan sekadar tentang memasak dan menjual. Ia soal rasa, suasana dan terutama sekali layanan ikhlas.

Hidangan yang sederhana pun boleh jadi luar biasa, jika disaji dengan ikhlas.

Apa gunanya menu pelbagai jika pelanggan terasa seperti menyusahkan?

Dalam budaya kita, makanan ialah bahasa kasih sayang.

Di rumah, sebagai seorang ibu, saya memasak bukan kerana perlu masak begitu sahaja tetapi kerana mahu anak-anak kenyang dan gembira. Begitu juga jika kami sebagai pelanggan masuk kedai makan. Kami mahu perut kenyang dan pulang dengan gembira.

Ada yang masuk kedai makan dengan jiwa yang serabut dan mahukan ketenangan dengan mencari ruang atau tempat makan yang tenang.

Pelanggan yang masuk bukan sematamata pelanggan. Mereka mungkin seorang ibu yang letih, pemandu yang penat atau seorang anak yang mahu menggembirakan orang tuanya.

Tidak ada yang lebih menyentuh hati seorang manusia selain daripada dilayan dengan hormat dan mesra. Kita mungkin terlupa nama kedai, jenis lauk atau harga yang dibayar tetapi kita jarang melupakan bagaimana kita dilayan ketika berada di situ.

Layanan yang datang daripada hati biarpun ringkas akan hidup lama dalam ingatan. Manusia tidak menuntut dilayan seperti raja.

Yang mereka perlukan hanyalah keikhlasan, perlukan senyuman, sapaan yang mesra atau pertolongan kecil saat mereka tercari-cari tempat duduk.

Tindakan yang nampak kecil ini selalunya menjadi besar maknanya kepada pelanggan.

Sebab itu, apabila kita melangkah masuk ke sebuah kedai makan dan disambut dengan wajah masam atau layanan hambar, hati segera terasa berat.

Makanan yang enak pun boleh terasa tawar apabila tidak disertai perasaan dihargai.

Sebaliknya, walaupun hanya menjamah nasi putih dan telur goreng, jika diiringi layanan penuh hormat, pelanggan akan pulang dengan senyuman yang terus melekat dalam hati mereka Sama juga kebaikan yang kita beri kepada manusia lain, tidak akan lenyap begitu sahaja.

Ia akan disemat dalam hati malah kadangkala menjadi sebab utama untuk kembali kepada kita.

Bukan semua orang mampu memasak dengan hebat tetapi semua orang mampu melayan dengan baik.

Layanan itu tidak perlu mahal. Ia hanya perlu ikhlas, kerana manusia lebih mudah menyambut kasih, berbanding menerima makanan tanpa rasa.

Maka jika kita mahu dikenang, layanlah dengan hati. Sebab hati yang tersentuh tidak akan mudah melupakannya.

Dan kerana itu, jangan kita remehkan nilai sebuah layanan. Ia mungkin cuma beberapa saat senyuman, sapaan atau kata sopan tetapi kesannya jauh lebih lama daripada waktu makanan itu habis dimakan. Ia menyentuh sesuatu yang tidak dapat dibeli iaitu hati pelanggan.

Kita hidup dalam zaman serba pantas dah banyak perkara menjadi rutin, termasuk melayan pelanggan.

Sesiapa yang masih mampu melayan dengan ikhlas, mereka itulah sebenarnya penjaga nilai kemanusiaan.

Apatah lagi dalam dunia perniagaan makanan, kasih dan hormat sepatutnya menjadi ramuan utama.

Makanan boleh dipesan dengan cepat, tetapi perasaan dihargai itu hanya hadir apabila yang menghidang benar-benar peduli. Layanan baik tidak perlukan modal besar.

Ia hanya perlukan hati yang mahu memberi bukan sekadar lauk, tapi juga rasa dihormati.

Kerana akhirnya, pelanggan akan melupakan rasa kari yang terlalu masin atau ayam yang sedikit liat.

Tetapi mereka tidak akan melupakan bagaimana mereka dilayan.

Dan selalunya, mereka kembali bukan kerana makanan tetapi kerana hati sudah terpaut.

Begitulah hebatnya melayan manusia dengan baik. Ia bukan sekadar bahagian kecil dalam perniagaan, tetapi yang menghidupkan siapa kita, siapa pelanggan.

Jagalah keikhlasan dalam makanan kerana dari situ datangnya ingatan dan kenangan yang manis.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

Pengurus klinik ‘jadi bilionair’ selama sejam

KUCHING: Seorang pengurus klinik, Wan Mohd Fairuz Wan Zainal Abidin, 33, terkejut apabila baki akaun banknya tiba-tiba memaparkan lebih RM1 bilion, sekali gus memberinya pengalaman

Pengurusan kewangan Sarawak dipuji

KUCHING: Penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Hadapan mencerminkan pengurusan kewangan berhemat Sarawak dalam menjamin kestabilan fiskal negeri serta kepentingan generasi akan datang. Ahli Dewan Undangan