ARTIKEL

Kasih Padi Bonda HIDUPKAN SEMANGAT KELUARGA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PEMENTASAN teater Kasih Padi Bonda berjaya membawa penonton menyelami erti kasih sayang serta pengorbanan seorang ibu melalui kisah yang sarat dengan emosi, nilai kemanusiaan dan pengajaran hidup.

Naskhah arahan Rushdi Morni ini bukan sekadar hiburan di pentas, tetapi juga sebuah karya seni yang menyentuh hati serta mendidik jiwa masyarakat.

Menurut Rushdi, teater ini merupakan karya muzikal yang bukan sahaja menghiburkan, malah turut memupuk kesedaran sosial dan mengangkat martabat seni teater tempatan.

“Kami ingin mempersembahkan karya yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga menghiburkan masyarakat, khususnya golongan belia.

“Melalui pementasan ini, kami mengetengahkan nilai kasih sayang dalam institusi keluarga serta semangat juang seorang ibu yang tidak pernah berputus asa,” ujarnya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, baru-baru ini.

MENDIDIK, MENGHUBUNG GENERASI

Teater Kasih Padi Bonda turut dijadikan platform untuk menarik minat generasi muda terhadap dunia teater.

Menyedari semakin ramai anak muda menjauh daripada seni pentas, pihak penganjur mengambil inisiatif melibatkan pelakon daripada pelbagai peringkat usia, termasuk murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah serta mahasiswa universiti awam dan swasta

. “Kami mahu membina jambatan antara generasi. Melalui pementasan ini, anak muda dapat belajar daripada pelakon berpengalaman, manakala pelakon senior pula berpeluang menyaksikan semangat baharu yang dibawa oleh generasi muda,” jelas Rushdi, yang juga jurulatih teater berpengalaman lebih 30 tahun.

Tambahnya lagi, teater ini selaras dengan usaha kerajaan dan agensi kebudayaan untuk memperkukuh warisan seni serta memartabatkan teater sebagai medium pendidikan emosi dan sosial.

TEATER MENDIDIK JIWA

Walaupun pementasan diadakan pada malam Khamis dan Jumaat, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Dewan dipenuhi pelajar institusi pengajian tinggi seperti IPG Batu Lintang, UiTM, UniRazak dan ICATS Sarawak, selain pelajar sekolah menengah serta sekolah rendah sekitar Kuching.

Antara golongan sasaran yang hadir termasuk ahli Pertubuhan Insan Dramatis Bintang Cahaya Kuching, pelatih guru IPG, komuniti tempatan, peminat seni, tetamu kehormat, pegawai kerajaan, wakil media dan orang awam.

Rushdi menzahirkan rasa syukur atas sokongan masyarakat, khususnya daripada generasi muda yang semakin menunjukkan minat terhadap pementasan teater. “Sokongan penonton amat memberangsangkan.

Hal ini membuktikan bahawa seni teater masih hidup dan mampu menarik minat masyarakat apabila disajikan dengan mesej serta nilai yang dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.

BUKAN SEKADAR PERSEMBAHAN

Mengulas tentang nilai yang ingin disampaikan, Rushdi menegaskan bahawa teater bukan sekadar persembahan, tetapi juga proses mendidik serta memanusiakan manusia.

“Melalui teater, kita belajar tentang kehidupan, kasih, dendam dan keinsafan.

Hal ini menjadikan kita lebih memahami emosi serta menghargai hubungan sesama manusia tanpa mengira usia,” jelasnya.

eater Kasih Padi Bonda menonjolkan nilai-nilai murni seperti kejujuran, ketabahan dan kasih seorang ibu yang menjadi nadi keluarga. Konfl ik emosi seperti dengki, cinta dan pengorbanan digarap dengan teliti, menjadikan pementasan ini bukan sekadar tontonan, tetapi juga satu pengalaman yang menyentuh hati penonton.

PASUKAN PRODUKSI BERPENGALAMAN

Sementara itu, setiap pelakon dipilih melalui sesi uji bakat bagi memastikan watak yang dibawakan dapat dihayati dengan mendalam.

Secara keseluruhan, pementasan ini melibatkan 14 pelakon utama, beberapa pelakon tambahan, empat penari serta 20 pelakon kampung yang terdiri daripada pelajar IPG Batu Lintang.

Walaupun ini merupakan pementasan teater muzikal pertama oleh Pertubuhan Insan Dramatis Bintang Cahaya Kuching, mereka menampilkan tenaga produksi berpengalaman yang pernah terlibat dalam pengarahan di peringkat sekolah, universiti, institusi khas serta masyarakat awam.

Kejayaan pementasan ini turut disokong oleh kerjasama erat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang menjadi rakan strategik dalam menjayakan teater berunsur pendidikan dan kebudayaan ini.

SENI SEBAGAI WARISAN DAN AMANAH

Bagi Rushdi, teater Kasih Padi Bonda bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi juga wadah untuk menyampaikan nilainilai kehidupan serta menyemarakkan semula minat terhadap seni pentas.

“Teater bukan sekadar mengenai lakonan atau muzik, tetapi tentang manusia dan hati.

Jika penonton dapat merasakan kasih, pengorbanan serta keinsafan selepas menonton, maka kami telah berjaya,” katanya penuh harapan.

Dengan sambutan yang menggalakkan serta mesej yang mendalam, teater Kasih Padi Bonda membuktikan seni teater masih relevan dan mampu menjadi medium untuk menyatukan masyarakat, mendidik emosi serta memelihara warisan budaya bangsa.

Teater ini mengisahkan tentang Dara, seorang ibu yang tabah meneruskan hidup selepas pemergian suaminya. Demi menunaikan hasrat arwah suami, Dara berkorban dan berjuang untuk melihat anakanaknya berjaya.

Dalam perjalanan itu, beliau berdepan dengan pelbagai cabaran, konfl ik emosi, cinta dan pengorbanan, menjadikan teater Kasih Padi Bonda sebuah kisah yang sarat dengan nilai kasih, ketabahan serta kejujuran seorang wanita.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU