LABUAN: Usaha berterusan pengendali Terminal Pelabuhan Labuan Liberty, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) yang mengetengahkan isu pemindahan kargo ke kapal kepada pihak atasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akhirnya membuahkan hasil.
Ketua Pegawai Operasi MPM, Datuk Seri Patrick Tiong Chiong Kui berkata pihaknya gembira atas hasil itu memandangkan aktiviti pemindahan kargo ke kapal akan terjamin susulan arahan baharu dari pejabat ketua pengarah JKDM.
“Kami telah memberi taklimat kepada Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim mengenai pelbagai isu dan cabaran yang telah lama dihadapi peserta industri maritim ketika beliau berada di Labuan bulan lepas.
“Kami berterima kasih kepada beliau dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan kerana mengambil tindakan segera,” katanya kepada Bernama.
Tiong berkata aktiviti pemindahan kargo ke kapal perlu mendapat sokongan pelbagai agensi penguatkuasaan.
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) baharu dan prosedur pemantauan akan memberi manfaat kepada peserta dalam industri pemindahan kargo ke kapal di Sabah dan Labuan.
Justeru, JKDM akan memudahkan cara aktiviti pemindahan kargo ke kapal bagi konsainan beras dan gula di pulau bebas cukai Labuan dan Sabah.
Surat bertarikh 19 Mei yang diteliti Bernama menyatakan JKDM Sabah mesti menyediakan SOP untuk pemindahan kargo ke kapal dan prosedur pemantauan bagi konsainan beras dan gula di semua kastam Sabah dan Labuan.
Ia juga menjelaskan kastam Sabah perlu memastikan destinasi pelabuhan terakhir kargo ditulis dengan jelas dalam Bil Muatan yang dikeluarkan negara penghantaran dan bukan hanya mana-mana pelabuhan di Sabah atau Malaysia.
“Ini untuk memastikan ia selaras dengan tafsiran pemindahan kargo ke kapal dan mengikut undang-undang kastam,” menurut surat itu.
Kastam Sabah juga mesti memastikan konsainan itu disimpan di gudang pelabuhan masing-masing untuk tempoh sebulan.
Ia juga menyatakan bahawa penyata kuantiti bulanan bagi konsainan beras dan gula (disimpan/dibawa keluar di/dari gudang) mesti disediakan oleh wakil syarikat, pengimport atau ejen penghantaran untuk serahan kastam.
Konsainan beras dan gula juga dibenarkan untuk disimpan di gudang di luar pelabuhan.
Walau bagaimanapun, pihak yang ingin berbuat demikian mesti mendapatkan permit terlebih dahulu daripada agensi berkaitan yang mengawal beras dan gula, menandatangani borang kastam dan membayar duti/cukai yang terlibat. – BERNAMA






