MIRI: Pihak polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di Stadium Tertutup Miri berikutan insiden kekacauan yang timbul semasa berlangsungnya perlawanan suku akhir Silat Olahraga Kategori Putri Bawah 45 kilogram (kg), semalam.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, satu kertas siasatan telah dibuka selepas pihaknya menerima laporan daripada Ahli Jawatankuasa yang terlibat di dalam acara berkenaan pada malam tadi.
“Kami telah menggandakan kekuatan petugas yang sedia ada di Stadium Tertutup Miri ini, namun jumlah petugas saya tidak dapat nyatakan.
“Sementara itu, mengenai insiden tersebut, kami hanya menerima satu sahaja laporan berkaitan, dan kami sedang melakukan siasatan ke berdasarkan laporan yang diterima.
“Berdasarkan laporan yang telah diterima, kita akan siasat dan buka siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Sukan Malaysia (SUKMA) Kluster Miri di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa tiada sebarang ancaman mahupun protes daripada sebarang pihak yang dijalankan di perkarangan Stadium Tertutup Miri setakat ini.
“Setakat ini, perkarangan stadium ini tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana semuanya dalam keadaan selamat.
“Kami tidak ada menerima makluman mengenai sebarang ancaman atau hal yang boleh menggugat ketenteraman atau keselesaan atlet yang bertanding di stadium ini,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kekacauan yang berlaku, Alexson berkata tiada sebarang penangkapan terhadap individu terlibat dalam kejadian berkenaan.
Menjelas lanjut, beliau berkata bahawa rakaman tersebut perlu dilihat serta dinilai dengan teliti terlebih dahulu.



