KUCHING: Sarawak mempunyai permintaan tinggi di pasaran antarabangsa terhadap kayu balak yang dikeluarkan daripada kawasan hutan yang telah dipersijilkan serta mengamalkan pengurusan hutan yang mampan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh berkata, aktiviti pembalakan yang dilaksanakan di dalam kawasan Unit Pengurusan Hutan (FMU) adalah mempunyai had yang tersendiri iaitu berdasarkan had pusingan tebangan minima selama 25 tahun untuk setiap kup.
“Ini bagi memastikan sesebuah kawasan yang telah dibalak kembali pulih dan bersedia untuk dibalak bagi pusingan seterusnya,” katanya semasa menjawab pertanyaan Adun Telang Usan, Dennis Ngau pada Persidangan DUN Ke-19, hari ini.
Sebagai kawalan penebangan secara komprehensif pula, beliau menjelaskan had tebangan tahunan turut dikuatkuasakan dan ianya akan diluluskan berdasarkan stok sebenar dirian hutan di lapangan.
Ia adalah dengan mematuhi saiz ukuran kayu balak yang dibenarkan ditebang melalui kaedah Pembalakan Impak Berkurangan.
“Oleh itu, pematuhan yang serius terhadap setiap prinsip di dalam standard pensijilan pengurusan hutan oleh para pelesen akan dapat memastikan aktiviti pembalakan yang dijalankan dapat menjana ekonomi negeri secara berterusan.
“Sekali gus dapat memelihara keupayaan sesebuah kawasan hutan untuk membekalkan sumber kayu balak secara berkekalan,” jelasnya.



