Apakah yang menjadikan saya berjaya? Tuhan. Dia melakar kejayaan untuk saya. Kita hanya manusia biasa, selebihnya kerana restu dan kasih sayang Tuhan kepada saya. Apa yang saya pegang ialah kasih sayang Tuhan. Kasih sayang menaklukkan segala-galanya. Hati yang baik merupakan kunci untuk membuka semua pintu kebaikan.
Itu bukan kata-kata saya. Itu jawapan mendiang Esther Law Lee Poh, pengasas Kumpulan YAST dan usahanita bertaraf global ketika saya menemu bual beliau pada November 2023.
Ketika itu, saya menganggapnya sebagai satu ungkapan yang indah. Namun selepas menerima berita pemergiannya semalam, kata-kata tersebut hadir kembali dengan makna yang jauh lebih mendalam. Pemilik ungkapan itu sudah tiada buat selama-lamanya tetapi pesanan yang ditinggalkannya tetap terpahat dalam ingatan saya — hati yang baik merupakan kunci untuk membuka semua pintu kebaikan.
Saya pertama kali mengenali mendiang Esther Law pada 2022 dalam satu majlis di Centexs Commercial, Kuching. Pertemuan itu tidak dirancang untuk menjadi sesuatu yang istimewa. Namun seperti banyak pertemuan bermakna dalam kehidupan, ia akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.
Ketika itu, saya hanya mengenalinya sebagai seorang wanita yang ramah, sentiasa tersenyum dan mudah didekati. Daripada satu pertemuan kepada satu pertemuan yang lain, saya semakin memahami mengapa ramai orang begitu senang dengannya. Beliau mempunyai keistimewaan tersendiri untuk membuatkan sesiapa sahaja berasa dihargai. Cara beliau bertegur sapa, bertanya khabar dan melayani orang di sekelilingnya memperlihatkan keikhlasan yang sukar ditemui. Mungkin kerana itulah, walaupun kami tidak bertemu dengan kerap, beliau tetap mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya.
Sejak itu, kami terus berhubung melalui pelbagai jemputan rasmi dan tidak rasmi, sama ada majlis makan malam, sambutan perayaan atau acara tertentu. Kami tidak bertemu setiap hari, malah tidak juga setiap bulan. Namun walaupun jarang bersua muka, beliau tetap mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya.
Bukan kerana hubungan yang terlalu rapat, tetapi kerana sifat baik dan aura positif yang sentiasa dibawanya ke mana-mana sahaja beliau berada. Setiap tutur katanya mengajak orang lain melihat sisi yang lebih cerah dalam kehidupan.
Adakalanya kita bertemu seseorang yang kehadirannya tidak pernah dirancang, namun meninggalkan kesan yang begitu mendalam. Pertemuan itu mungkin bermula dalam satu majlis kecil, perbualan ringkas atau tugasan biasa tetapi akhirnya insan tersebut mengajar kita tentang keikhlasan, belas ihsan dan nilai kemanusiaan yang sebenar.
Ayat-ayat inilah yang terlintas di fikiran saya ketika memandu pulang dari pejabat tengah hari semalam selepas menerima berita kehilangan seorang wanita yang boleh saya sifatkan sebagai kenalan, sahabat dan seseorang yang mempunyai tempat istimewa dalam kalangan mereka yang mengenalinya.
Mendiang Esther Law merupakan antara individu yang memiliki kelebihan luar biasa untuk membuatkan orang lain berasa dihargai. Beliau tidak perlu melakukan sesuatu yang besar untuk meninggalkan kesan. Kehadirannya sahaja sudah cukup untuk membawa suasana yang lebih tenang dan menyenangkan.
Kita sedar usia bukan milik kita. Kita hanyalah peminjam masa yang sedang melalui perjalanan singkat di dunia ini sebelum kembali kepada Pencipta.
Dalam saat-saat seperti inilah kita mula menyedari nilai seseorang bukan terletak pada pangkat, harta atau kedudukan yang dimilikinya. Sebaliknya, nilai itu terletak pada kesan baik yang ditinggalkannya kepada orang lain.
Yng paling saya ingat bukanlah tentang perkara besar yang dilakukannya tetapi tentang sifat dirinya yang begitu mudah mesra. Beliau mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan orang lain berasa selesa. Senyumannya sentiasa hadir bersama kata-kata yang menyenangkan manakala sikap rendah dirinya menjadikan sesiapa sahaja yang berbual dengannya berasa dihargai.
Kita berada dalam zaman yang pantas. Ramai orang sibuk mengejar kejayaan sehingga terlupa untuk mengambil berat tentang manusia di sekeliling mereka. Kadangkala kita terlalu fokus kepada apa-apa yang ingin dicapai sehingga terlupa perjalanan ini sebenarnya tentang hubungan sesama manusia.
Namun Esther Law yang saya kenali ini berbeza. Beliau mengingatkan saya bahawa berbuat baik tidak semestinya dalam bentuk yang besar dan luar biasa. Kadangkala perkara yang sederhana mampu meninggalkan kesan yang mendalam.
Mungkin itulah sebabnya ramai yang berasa kehilangan apabila menerima berita pemergiannya.
Sehari sebelum beliau berangkat ke Beijing untuk mendapatkan rawatan kanser pada 24 Februari lalu, kami berkesempatan menziarahinya. Ketika itu, pergerakannya sudah terbatas. Dalam kepayahan untuk berjalan, beliau dipapah oleh anak tunggal perempuannya menuju ke tempat duduk.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu sebenarnya ringkas. Kami hanya berbual, bertanya khabar dan berkongsi doa agar rawatan yang bakal dijalaninya dipermudahkan serta membuahkan hasil yang baik. Namun dalam kesederhanaan pertemuan itu, tersimpan pelbagai perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Sebelum pulang, kami memeluknya seorang demi seorang. Dalam detik itu, saya merasakan ada air mata yang cuba disembunyikan. Barangkali kami semua sedang menyimpan harapan yang sama, semoga beliau kembali sihat seperti sediakala.
Masih terngiang-ngiang kata-katanya ketika itu. “Tiga bulan lagi, apabila saya balik dari Beijing, kita makan kenduri kesyukuran,” katanya sambil melambai tangan dan tersenyum.
Kami mengangguk dan membalas senyumannya. Kami percaya dan berharap perkara itu akan menjadi kenyataan.
Sepanjang bulan pertama berada di Beijing, beliau masih sempat bertanya khabar dan membuat panggilan ringkas. Suaranya lembut seperti biasa. Di hujung perbualan, beliau sering mengulangi harapan yang sama.
“Nanti saya balik, kita jumpa.”
Ya, sudah tentu kami akan berjumpa dengannya apabila beliau kembali ke Kuching. Itulah yang kami harapkan. Namun Tuhan mempunyai perancangan yang lebih besar daripada segala harapan manusia.
Akhirnya, pertemuan yang dijanjikan itu tetap berlaku. Kami tetap akan bertemu dengannya. Tetapi bukan dalam suasana makan bersama seperti yang dirancang, bukan juga dalam gelak tawa seperti selalu.
Sebaliknya, pertemuan itu merupakan pertemuan terakhir untuk mengiringi perjalanan beliau menuju tempat persemadian yang abadi.
Kami akan datang. Kami akan bertemu dengannya. Dan dalam pertemuan terakhir itu, yang tinggal hanyalah kenangan, doa dan rasa syukur kerana pernah mengenali seorang insan yang begitu baik hati sepanjang hayatnya.
Apabila seseorang yang baik hati meninggalkan dunia ini, kita seolah-olah kehilangan sebahagian daripada kebaikan yang menerangi hari-hari kita. Kita kehilangan suara yang selalu memberikan semangat, wajah yang sentiasa menyambut dengan senyuman dan insan yang membuatkan dunia terasa sedikit lebih indah.
Namun dalam kesedihan itu, ada satu perkara yang memberi ketenangan. Nilai murni tidak akan lenyap bersama pemiliknya. Ia terus hidup dalam kenangan mereka yang pernah menerima bantuan, dalam doa mereka yang pernah merasakan keikhlasan dan dalam cerita yang terus disampaikan daripada seorang insan kepada insan yang lain.
Apabila kita mengenang seseorang yang telah pergi, sebenarnya kita sedang menghidupkan kembali segala nilai baik yang pernah dibawanya.
Kehilangan ini juga membuatkan saya bertanya kepada diri sendiri, apakah yang akan ditinggalkan oleh kita apabila tiba masanya nanti?
Adakah orang akan mengenang kita kerana jawatan yang pernah kita sandang? Mungkin tidak.
Adakah orang akan mengenang kita kerana jumlah wang yang kita miliki? Belum tentu.
Tetapi mereka pasti akan mengingati bagaimana kita membuatkan mereka berasa nyaman. Mereka akan mengingati layanan yang pernah kita berikan dan sama ada kita pernah membantu ketika mereka memerlukan atau sekadar berlalu tanpa peduli.
Hakikatnya, setiap hari kita sedang membina legasi kita sendiri. Legasi itu tidak semestinya tercatat dalam buku sejarah. Ia mungkin hanya tersimpan dalam hati segelintir manusia yang pernah hadir dalam perjalanan kita. Namun itulah legasi yang paling berharga.
Malah, adakalanya satu perbuatan baik yang kecil lebih bermakna daripada pencapaian besar yang dipamerkan kepada dunia.
Satu kata semangat kepada seseorang yang sedang berputus asa. Satu bantuan kepada mereka yang sedang kesusahan. Satu kemaafan kepada mereka yang pernah melakukan kesilapan. Satu senyuman kepada mereka yang sedang bersedih. Semua itu mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya boleh kekal sepanjang hayat.
Kehilangan wanita yang baik hati ini menjadi peringatan bahawa kehidupan terlalu singkat untuk dipenuhi dengan kebencian, dendam dan perselisihan yang tidak berkesudahan. Kita tidak tahu siapakah antara kita yang akan pergi dahulu dan kita juga tidak tahu bilakah nama kita akan disebut dalam berita kematian oleh orang lain.
Oleh itu, selagi masih diberi peluang untuk bernafas, gunakanlah kesempatan itu untuk berbuat baik. Hargailah keluarga, sahabat dan mereka yang sentiasa berada di sisi kita. Ringankan tangan untuk membantu, mulut untuk mengucapkan kata-kata yang baik dan hati untuk memaafkan.
Hari ini, ketika ramai yang masih bersedih atas pemergian mendiang Esther Law, saya memilih untuk mengenangnya melalui segala kebaikan yang pernah ditunjukkannya sepanjang hayat. Kesedihan mungkin akan beransur reda dengan peredaran masa tetapi kenangan terhadap keperibadiannya akan terus kekal dalam hati mereka yang pernah mengenalinya.
Semoga setiap senyuman yang pernah diukir, setiap bantuan yang pernah dihulurkan dan setiap benih kebaikan yang pernah disemai menjadi kenangan indah dalam hati mereka yang terus mengenang dan mendoakannya.
Dan semoga kita yang masih meneruskan perjalanan ini mengambil iktibar daripada kehilangannya. Kerana pada akhirnya, apabila jasad sudah kembali ke tanah dan segala urusan dunia ditinggalkan, yang kekal bukanlah apa-apa yang kita miliki tetapi apa-apa yang telah kita berikan kepada manusia lain. Nilai itulah yang akan terus dikenang dan menjadi warisan.
Dan nilai itulah yang membuatkan seseorang terus diingati walaupun jasadnya telah lama tiada.



