LOS ANGELES: Kebakaran hutan di California Selatan merebak hampir 2,700 ekar (10.9 kilometer persegi), memaksa penduduk berpindah ketika gelombang haba melanda kawasan itu.
Kebakaran dikenali sebagai Summit itu bermula pada tengah hari Jumaat di Llano, berhampiran sempadan daerah Los Angeles dan San Bernardino, dan masih belum dapat dikawal setakat pagi Sabtu.
Arahan serta amaran berpindah dikeluarkan, manakala anggota bomba meneruskan operasi pemadaman dari udara dan darat walaupun berdepan bentuk muka bumi yang curam.
Menurut Bernama, helikopter turut digunakan bagi membantu operasi memadam kebakaran di kawasan sukar diakses.
Suhu mencecah hampir 37.8 darjah Celsius pada Jumaat, dengan amaran gelombang haba dijangka berterusan di sebahagian besar California Selatan hingga pagi Selasa.






