KUCHING: Kebakaran sebuah kedai barangan elektronik di Bandar Baru Batu Kawa berjaya dikawal pasukan bomba hari ini selepas tindakan pantas anggota pemadam api menghalang api daripada merebak ke premis berhampiran.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, kebakaran yang dilaporkan pada jam 3.24 petang itu melibatkan kedai barangan elektronik di tingkat bawah sebuah bangunan kekal tiga tingkat.
“Saiz kawasan terkesan berkeluasan kira-kira 15 kaki x 30 kaki di Jalan Batu Kawa, HLP Electrical Supply, Bandar Baru Batu Kawa.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi pada jam 3.35 petang, kira-kira lapan kilometer dari balai, sebelum operasi pemadaman segera dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos, pam jentera serta sumber air daripada pili bomba bagi mengawal kebakaran.
“Operasi berkenaan turut melibatkan bantuan daripada BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan dengan kekuatan keseluruhan 25 anggota, disokong tiga jentera FRT, dua EMRS dan dua RIM.

“Komander Operasi, PBK I Gajau Jemat memaklumkan tindakan pantas anggota adalah bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kedai bersebelahan,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa maklumat lanjut berhubung punca kejadian dan jumlah kerugian masih belum diperoleh.



