KUCHING: Kebebasan media perlu diimbangi dengan etika bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap kewartawanan terus terpelihara dalam era kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau tertarik dengan analogi yang dikongsikan Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran mengenai seorang bapa yang perlu berlaku adil terhadap tiga orang anak.
Menurutnya, analogi tersebut menggambarkan bahawa konsep kesaksamaan bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan, bukannya bersifat mutlak.
“Satu aliran pemikiran mengatakan berdasarkan hak asasi manusia, kebebasan sepenuhnya mesti diberikan kepada kita. Satu lagi aliran pemikiran mengatakan kebebasan boleh diberikan, tetapi dalam had tertentu.
“Seseorang tidak boleh terlalu bebas. Seseorang perlu dibimbing. Selepas itu timbul persoalan etika, sama ada anda terikat dengan konvensyen tertentu dan etika kemanusiaan. Di sinilah media perlu membuat pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 yang ketiga bertemakan “Media, Kepercayaan dan Tadbir Urus Dalam Dunia Digital Yang Berkembang Pesat” di sebuah hotel di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, tema kepercayaan amat bertepatan kerana ia berkait rapat dengan tanggungjawab yang diberikan kepada pengamal media dalam melaksanakan tugas kewartawanan.
Katanya, hubungan antara media dengan masyarakat juga perlu dibina berasaskan kepercayaan, sama seperti hubungan antara seorang bapa dengan anak.
Dalam perkembangan berkaitan teknologi, Abang Johari berkata kemajuan AI membawa manfaat besar kepada masyarakat, namun pada masa sama berpotensi disalahgunakan jika tidak dikawal dengan nilai etika.
“Bagi saya, AI adalah seperti sebilah pedang atau pisau. Kadang-kadang ia digunakan untuk kebaikan. Di dapur, anda memerlukan pisau untuk memotong daging dan ikan.
“Tetapi pada masa sama, pisau itu jika disalahgunakan, ia boleh membunuh pihak lawan anda,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata aspek etika perlu menjadi asas dalam penggunaan AI supaya teknologi tersebut terus dimanfaatkan untuk tujuan yang baik.



