ARTIKEL

Keberkatan, rezeki Ramadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PEJAM celik, hari ini kita memasuki Ramadan — bulan penuh keberkatan dan jaminan ganjaran pahala berlipat ganda.

Pada bulan ini, Umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah wajib dan sunat.

Golongan asnaf pula terus disantuni dalam memastikan mereka tidak bersendirian ketika menjalani ibadah puasa.

Bantuan dan sumbangan disalurkan dengan harapan dapat meringankan beban yang dipikul terutama ketika ketidaktentuan ekonomi.

Justeru, penganjuran agihan bantuan seperti Program Rezeki Ramadan menjadi inisiatif memudahkan urusan golongan kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah puasa.

Baru-baru ini, Islamic Relief Malaysia menyerahkan 100 pek makanan kepada keluarga asnaf, warga emas, ibu tunggal, saudara baharu, dan orang kelainan upaya (OKU) di Sebuyau.

Pemberian bantuan melibatkan penduduk di sekitar Kampung Segali, Kampung Menik, Kampung Sampat, Kampung Arus Melayu, Kampung Lutong dan Kampung Tungkah Melayu.

Biarpun sumbangan disampaikan hanya bersifat sekali beri, namun besar maknanya bagi mereka yang memerlukan.

Melalui program seumpama ini, ia diharap dapat memudahkan urusan penerima untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur ketika Ramadan. 

Di kawasan Parlimen Santubong misalnya, setakat ini geran berjumlah RM169,000 diagihkan kepada masjid dan surau.

Ia termasuk penyerahan kepada lima masjid dan surau di kawasan Bandar Baru Samariang berjumlah RM44,000 yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahli Parlimen Santubong itu memaklumkan, sebanyak 20 masjid dan 26 surau di kawasan Parlimen Santubong menghantar permohonan.

Menurutnya, pengagihan tersebut dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sepanjang Ramadan.

Dengan dana tersebut, ia secara tidak langsung membantu pihak jawatankuasa menjalankan aktiviti serta program mengimarahkan masjid dan surau dengan lancar.

REZEKI

Sementara itu, tiba bulan puasa, beberapa lokasi di sekitar bandar raya menjadi tumpuan ramai.

Bazar Ramadan membuka peluang kepada rakyat khususnya komuniti peniaga menjana pendapatan.

Bukan itu sahaja, selain faktor perniagaan, ia juga menjadi platform perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Bazar Ramadan menyajikan pelbagai juadah, namun pembelinya bukan hanya masyarakat Islam. Komuniti agama lain turut sama memeriahkan bazar.

Tidak dinafikan, ia bukan asing bagi kehidupan di Sarawak, malah lebih signifikan dengan perpaduan dan keharmonian rakyat di sini.

Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Penan, Orang Ulu, Melanau mahupun pelbagai kumpulan etnik lain mampu hidup di bawah satu bumbung di Sarawak.

Apabila tiba musim perayaan, semangat ini menjadi prinsip yang dipegang erat zaman-berzaman.

Dalam Rukun Islam, perkara ketiganya berpuasa pada Ramadan dan seterusnya, membayar zakat.

Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, zakat puasa atau Ramadan dan zakat Fitri.

Hukumnya adalah wajib terhadap umat Islam dengan beberapa syarat iaitu beragama Islam, berakal dan hidup pada sebahagian Ramadan dan Syawal.

Zakat fitrah adalah sebagai penyuci umat Islam daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan asnaf ketika 1 Syawal.

Secara tidak langsung sumbangan kita menerusi pembayaran zakat dapat digunakan untuk membantu golongan asnaf dan kurang bernasib baik berhari raya.

KADAR ZAKAT

Di Sarawak, Majlis Islam Sarawak (MIS) menetapkan kadar zakat fitrah tahun ini RM7.50 untuk seorang. 

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datuk Abang Mohd. Shibli Abang Mohd Nailie berkata, kadar tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM7.

Menurutnya, bayaran zakat fitrah boleh dilakukan bermula 1 Ramadan kepada TBS sama ada secara fizikal mahupun dalam talian atau kepada amil bertauliah yang dilantik.

“RM7.50 ini bagi saya adalah satu kadar yang mampu untuk masyarakat Islam kita membayar.

“Tunaikan tanggungjawab itu seawal yang mungkin,” katanya.

Kesimpulannya, kehadiran Ramadan yang penuh keberkatan sangat berkait rapat dengan warna-warni kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU