ARTIKEL

Lan Endor, 53

Kehilangan Amoy amat dirasai seluruh keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hati bapa mana tidak luluh apabila menerima perkhabaran duka anak kesayangan pergi meninggalkan mereka sekeluarga selamalamanya dalam keadaan yang cukup tragis.

Demikian dugaan yang menimpa Lan Endor, 53, ayah kepada arwah Nurul Asikin Lan, 28, yang mati dibunuh setelah dilaporkan hilang selama hampir 10 hari sejak 5 Disember lepas.

Katanya, pemergian Nurul Asikin atau lebih dikenali sebagai Amoy amat dirasai seluruh keluarga kerana sikapnya ceria dan merupakan anak paling disayangi.

“Amoy seorang yang ceria, biasanya kalau mahu keluar, dia akan beritahu ibunya dahulu.

Dia tidak pernah lupa memberitahu ibunya setiap kali ingin ke mana-mana.

“Mak, kamek keluar makan (mak, saya keluar makan).

Kemudian ibunya akan membalas pesanan ringkas “jangan akhir gilak, esok mok kerja (jangan lewat sangat, esok mahu kerja).

“Tiada lagi penyeri keluarga kami… pemergiannya amat dirasai,” ujarnya menahan tangisan ketika ditemui Suara Sarawak.

Dalam pada itu, Lan berharap agar pihak berkuasa akan mengenakan hukuman setimpal kepada pelaku yang meragut nyawa anaknya itu.

Sebelum ini, tular di media sosial hantaran meminta bantuan ramai untuk mencari Nur Asikin yang dipercayai hilang sejak 5 Disember lepas susulan keluarganya tidak dapat menghubungi wanita tersebut.

Menurut keluarganya, wanita berusia 28 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki dan kemudian bertemu pada 5 Disember lalu sebelum Nurul Asikin dilaporkan hilang.

Manakala sepupu kepada Nurul Asikin, Satila Layla yang bertanggungjawab membuat perkongsian kehilangan Nurul menafikan lelaki tersebut merupakan teman lelaki sepupunya.

Menurut Satila Layla, ketika mereka cuba menghubungi suspek, mereka mendapati nombor keluarga Nurul Asikin disekat. Lelaki tersebut turut dilaporkan terbang ke Kemboja untuk menyaksikan perlawanan pasukan Harimau Malaya menentang Kemboja

. Susulan itu, keluarga Nur Asikin mulai mengesyaki dia mempunyai kaitan dalam kehilangan Nurul Asikin namun masih belum dapat dibuktikan.

Sementara selepas lebih seminggu hilang, satu jasad wanita yang dipercayai dibunuh dijumpai di kawasan longkang berdekatan tempat pembuangan sampah dekat Samajaya, Tabuan Jaya di sini.

Jasad terbabit dijumpai pada Sabtu dalam keadaan tidak sempurna seelpas penangkapan lelaki tempatan berusia 23 tahun yang dikaitkan dengan kehilangan Nurul Ashikin.

Akibat pelbagai spekulasi yang berlegar-legar di laman media sosial berhubung hubungan antara Nurul Asikin dengan lelaki terbabit, Satila tampil menjelaskan mereka bukan pasangan kekasih.

“Dia hanyalah kenalan biasa bukan teman lelaki Amoy. Dan pada malam 5 Disember lepas, ia bukan pertama kali Amoy keluar bersama-sama dia. “

Meskipun kami sekeluarga tidak mengenali lelaki itu, namun arwah Amoy sentiasa memberikan perkembangan dirinya dengan saya termasuk ketika berjumpa lelaki itu.

“Saya akrab dengan Amoy dan dia akan membuat panggilan telefon jika keluar bersama kawan-kawan tidak kira lelaki atau wanita,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sementara itu, Satila turut meluahkan rasa terkilan apabila perancangan membuka perniagaan bersama-sama hanya tinggal kenangan setelah tragedi tidak disangka-sangka menimpa sepupu kesayangannya.

Menurutnya, impian bersama untuk membuka perniagaan sudah lama direncanakan dengan lesen perniagaan yang sudah didaftarkan.

“Saya sangat terkilan kerana rancangan kami membuka perniagaan tinggal kenangan.

Cita-cita ini sudah lama kami impikan, bahkan lesen perniagaan sudah didaftarkan dan hampir siap.

“Kehilangan arwah umpama separuh jiwa saya hilang, sebelah kaki saya patah,” katanya.

Bagaikan isi dengan kuku, itulah peribahasa yang paling tepat menggambarkan hubungan akrab Satila dan arwah yang menjadi mangsa kezaliman manusia tidak berhati perut.

Hubungan rapat itu bukan sahaja atas dasar pertalian darah sahaja, tetapi juga sebagai rakan karib yang sentiasa berada di sisi arwah.

Menurutnya lagi, sebagai individu yang paling rapat dengan arwah, dia menyimpan banyak kenangan manis bersama-sama, namun terpaksa reda dengan pemergian ini.

“Susah senang kami sentiasa bersama-sama. Walaupun pertalian darah kami hanya sebagai sepupu, tetapi saya sudah menganggapnya sebagai adik sendiri,” katanya.

Mengimbau tentang perwatakan Nurul Asikin, Satila memberitahu arwah merupakan seorang yang ceria, periang dan pemurah dengan senyuman

“Arwah mempunyai sikap sangat positif dan sentiasa berkelakuan baik dengan orang ramai. “Jarang sekali melihat arwah bermasam muka kerana sudah menjadi perwatakannya sebagai seorang yang ceria.

“Saya masih ingat pesanannya agar sentiasa gembira kerana tekanan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah sambil dia menari-nari dan ketawa ketika menyampaikan nasihat itu,” katanya

. Satila meluahkan harapan agar pelaku dan sesiapa yang terlibat dengan pembunuhan dibawa ke muka pengadilan

. “Kejadian yang menimpa arwah sangat menyedihkan, dan tidak kira berapa lama masa diambil, hukuman setimpal perlu dijatuhkan kepada pelaku,” katanya.

BERITA LAIN

Kepercayaan memakan diri

DUA hari lalu, polis Saratok mendedahkan seorang wanita warga emas dari Kabong terpedaya oleh seorang bomoh palsu dari Sibu. Terpedaya itu bukan seribu dua, belasan

BERITA TERBARU

Getah sekerap Sarawak RM3.90 sekilogram

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) memaklumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap (cuplump) dan lateks tidak diaktifkan di seluruh negara pada Oktober ini.