ARTIKEL

Kredit: Bernama

Kejayaan paling manis takraw M’sia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MEDIA Thailand melaporkan kejayaan Malaysia merangkul pingat emas dalam acara sepak takraw regu berpasukan lelaki Sukan SEA 2025 Ahad lalu telah mencemari pesta kejayaan mereka merangkul lebih 100 pingat emas.

Akhbar popular, Bangkok Post menggambarkan kekalahan tersebut sebagai satu tragedi arena sukan negara Gajah Putih apabila Malaysia berjaya menumbangkan Thailand 2-1 pada aksi final dramatik.

“Langkah Thailand melepasi pencapaian 100 emas terganggu dengan kekalahan mengejut kepada musuh ketat, Malaysia, dalam final regu lelaki… keputusan yang secara tiba-tiba menamatkan cengkaman 34 tahun tuan rumah ke atas sukan ini dan mengejutkan seluruh negara,” tulis laporan itu.

“Kekalahan itu berlaku pada hari ketika Thailand berharap untuk meraikan dominasi mereka dalam kedudukan pingat, namun ia memusnahkan detik yang sepatutnya gemilang,” petik Bangkok Post.

Bagi Thailand, ia adalah acara ‘ibu segala pingat’, yang secara tradisi, mereka sentiasa mengunggulinya. Malah gelaran juara keseluruhan akan kurang serinya, tanpa pingat emas sepak takraw berpasukan.

Kali ini ia sangat perit, kerana tewas di gelanggang sendiri, di hadapan 4,000 penyokong di arena Nakhon Pathom.

Situasi sama berlaku di Manila pada 1991 yang turut dirasai ketua jurulatih Malaysia, Ahmad Jais Baharun, yang ketika itu sebagai pemain negara.

Yang pasti, kekalahan ini akan terus diingati Thailand, kerana telah pun mendahului 1-0, namun Malaysia bangkit, menyamakan kedudukan dan seterusnya mengukir kemenangan dalam set penentu (2-1).

Bagi Ahmad Jais, kejayaan kali ini lebih manis, berbanding 34 tahun yang lalu.

“Ia bukan sekadar kemenangan, namun lebih kepada kebahagiaan berganda kerana kali ini saya berada di sisi sebagai jurulatih, menyaksikan generasi baharu mengukir sejarah,” ujarnya.

Beliau berkata, lebih tiga dekad adalah tempoh yang cukup lama, namun berkat kesabaran dan semangat tidak pernah luntur akhirnya Malaysia menggenggam kilauan emas.

“Ketika perlawanan tekanan memang terasa, tetapi saya berserah kepada Allah SWT dan bertawakal. Yang penting, anak-anak buah tidak melakukan kesilapan mudah,” ujarnya.

Mengimbas semula final Ahad lalu menyaksikan regu pertama negara, Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas tipis kepada trio Thailand, Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon dalam saingan tiga set, dengan mata 9-15, 15-11 dan 13-15.

Namun regu kedua negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam menunjukkan kebangkitan luar biasa, mengatasi Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan, dengan mata 17-14, 15-13 sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Regu ketiga, Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi, memastikan kemenangan Malaysia setelah menumpaskan Kritnasanapong Nontakote, Varayut Jantarasena dan Wuttinun Kamsanor, dengan mata 15-13, 15-11.

Pertukaran taktikal, dengan memasukkan Muhammad Zarif Marican, menggantikan Zulkifli Razak sebagai langkah tepat.

Keputusan berani Ahmad Jais itu dibuat selepas menyedari corak permainan lawan mula menguasai perlawanan, namun tekong muda itu berjaya memberikan impak segera dari segi tempo dan keyakinan pasukan.

“Bagi saya ikut corak pemain kita, apabila kita pada tahap tertekan, kami perlu melakukan strategi untuk memecahkan barisan pertahanan lawan,” ujar Ahmad Jais.

Yang pasti, sepak takraw Malaysia meningkat drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah turut mengalahkan Thailand pada final antara regu pada Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur.

Malaysia kini bukan sahaja kuat melalui satu regu, tetapi juga kental melalui tiga regu sebagaimana yang dibuktikan dalam Sukan SEA 2025. Hakikatnya, penganjuran Liga Sepak Takraw atau lebih dikenali sebagai STL (Sepak Takraw League) sejak 2014 banyak membantu kejayaan Malaysia.

STL dibangunkan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan anak syarikat Kumpulan Astro Asia Sports Ventures. Kemudiannya, pada 2018, ia telah ditadbir oleh PSM dan Kumpulan Astro di bawah anak syarikat yang berbeza, Astro Arena.

Pada 2019, liga ini disiarkan secara rasmi di luar Malaysia buat kali pertama apabila penyiar Indonesia TVRI membuat liputan STL Champions Cup.

STL mewujudkan saingan kompetitif dalam kalangan pemain, apatah lagi setiap pasukan dibenarkan ‘mengimport’ pemain dari Thailand bagi menguatkan pasukan masing-masing.

Malah, ia turut disiarkan secara langsung oleh Astro Arena, sebagai lambang komersial, sekali gus menarik perhatian peminat di seluruh negara.

Sebut sahaja STL, peminat sukan tradisi ini pasti terpacak di depan televisyen atau di skrin telefon.

Selain itu, terdapat pemain Malaysia yang turut menyertai Liga Thailand, seperti Syahir Rosdi dan Azlan Alias.

Sedikit banyak, ia memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk membiasakan diri setiap kali menentang Thailand.

Situasi ini tidak berlaku beberapa tahun yang lalu. Realitinya, sokongan padu kerajaan terhadap sukan ini membuahkan hasil melalui pembinaan ekosistem sukan warisan, termasuk penganjuran liga tempatan yang mantap, pembinaan Akademi Sepak Takraw Malaysia dan melicinkan pentadbiran Persekutuan Sepak Takraw Malaysia.

Kerajaan sebelum ini menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan besar bagi pembangunan sepak takraw melalui pelbagai skim, termasuk Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti, masing-masing berjumlah RM9 juta pada 2023, RM8 juta pada 2024 dan RM6 juta tahun ini.

Penyaluran RM6 juta tahun ini melibatkan kerja menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Realitinya kejayaan dalam Sukan SEA 2025 akan menjadi perintis untuk Malaysia terus memecah tradisi penguasaan Thailand untuk mana-mana kejohanan besar selepas ini.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan