KUCHING: Kejayaan Sarawak menggandakan hasil negeri bukan secara kebetulan, sebaliknya datang daripada seorang pemimpin yang bervisi, inovasi dan disiplin.
ADUN Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, kisah Sarawak sejak 2017 hingga 2025 ialah kisah keyakinan, kisah sebuah wilayah yang berani mengambil alih takdirnya.
“Tidak juga berlaku secara kebetulan, sebaliknya daripada visi, inovasi dan disiplin Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memahami autonomi sebenar bukan sahaja bersifat politik, tetapi juga kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Jelasnya, dengan menegakkan hak ke atas minyak dan gas, mempelbagaikan asas pendapatan dan menguruskan kewangan dengan berintegriti, Abang Johari berjaya mengubah Sarawak menjadi wilayah paling berdaya tahan dari segi fiskal di Malaysia.
“Hari ini, Sarawak berdiri teguh bukan bergantung, tetapi berdikari.
“Bukan meminta-minta, tetapi membina dan bukan menunggu, sebaliknya memimpin,” ujarnya.
Soon Koh menyifatkan 2024 dan 2025 merupakan zaman kematangan fiskal bagi Bumi Kenyalang.


