ASAJAYA: Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya, Datuk Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah edisi ke-57 bakal membuka tirainya esok (Rabu).
Dua pasukan, Tambirat dan ABF Telaga Air, akan bertemu dalam aksi pembukaan rasmi yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2:30 petang di Padang Bola Sepak Kampung Sambir, Asajaya.
Pengerusi kejohanan, Jalek Jaafar, memaklumkan bahawa enam perlawanan akan berlangsung sepanjang hari esok, dengan tiga perlawanan dijadualkan pada sebelah pagi dan tiga lagi pada sebelah petang.
“Saingan bermula esok dengan enam perlawanan. Pasukan Tambirat dan ABF Telaga Air diberi penghormatan untuk aksi pembukaan rasmi petang esok,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Jalek, pihaknya menjangkakan perlawanan yang sengit antara kedua-dua pasukan tersebut.
“Tambirat merupakan wakil dari Daerah Asajaya, manakala ABF Telaga Air dari Kuching,” tambahnya.
Majlis perasmian petang esok dijangka disempurnakan oleh Penaung Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB), Datu Abdullah Julaihi.
Kejohanan tertua di Sarawak ini ditaja oleh Lea Sports Centre (LSC) dan menyaksikan penyertaan 50 pasukan handalan. Ia menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,000 kepada tiga pasukan terbaik.



