PENGANJURAN Kejohanan Bola Sepak Veteran Terbuka Piala Datuk Ir Aidel Lariwoo Edisi Ke-4 2026 yang membuka tirainya hujung minggu lalu dilihat amat bertepatan dalam usaha menyemarakkan kembali semangat sukan dalam kalangan pemain veteran.
Kejohanan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain peringkat umur terbabit kembali beraksi di padang, malah menjadi medan terbaik untuk mereka bertemu semula dengan rakan taulan serta sahabat lama.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, usaha Kaslo FC, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Semera Lot serta Ranting PBB Semera Lot menganjurkan kejohanan tersebut wajar dipuji.
Menurutnya, penganjuran kejohanan seperti itu secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat.
“Langkah yang dilakukan jawatankuasa penganjur dalam mengelola kejohanan ini amat tepat.
“Saya percaya pemain yang terlibat bukan sahaja dapat bertemu kembali dengan rakan lama mereka, malah pada masa sama dapat meningkatkan ukhuwah sesama mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Sadong Jaya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan melaksanakan program berkenaan.

Katanya, kepekaan pihak penganjur dalam menyediakan ruang kejohanan untuk golongan veteran memperlihatkan aktiviti sukan bagi peringkat umur tersebut masih diberi perhatian seimbang, seiring dengan program melibatkan golongan muda dan kategori umur lain.
Terdahulu, Aidel turut mengingatkan peserta serta masyarakat setempat mengenai kepentingan mengamalkan dan mengekalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, amalan bersukan merupakan antara elemen penting bagi memastikan tahap kesihatan diri terus berada pada tahap optimum.
“Teruskan usaha anda semua untuk bersukan. Walaupun berada pada peringkat umur veteran, ia bukan penghalang untuk terus aktif dalam aktiviti sukan.
“Yang penting, utamakan kesihatan diri supaya badan sentiasa cergas,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Kejohanan, Musa Ujang merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.
Menurutnya, sokongan daripada pelbagai pihak menjadi elemen penting bagi memastikan kejohanan edisi kali ini dapat berlangsung dengan lancar seperti yang dirancang.
“Saya mewakili jawatankuasa penganjur ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, terutama Aidel Lariwoo atas sokongan dan komitmen yang diberikan terhadap penganjuran kejohanan ini,” katanya.
Musa turut berharap kerjasama yang terjalin antara semua pihak dapat dikekalkan dan diteruskan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, sebanyak 40 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini bagi merebut gelaran juara.
Pasukan yang bertanding mewakili pelbagai kelab handalan dari Sadong Jaya, Asajaya, Kuching, Samarahan, Serian serta kawasan sekitarnya.
Kejohanan edisi kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM14,000.
Pasukan yang muncul juara bakal membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta piala dan pingat, manakala naib juara menerima wang tunai RM4,000, piala serta pingat.
Sementara itu, dua pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM2,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Menariknya, kejohanan kali ini turut disertai beberapa bekas pemain yang pernah mewakili skuad Sarawak suatu ketika dahulu.
“Terdapat juga pasukan yang menggunakan khidmat pemain dari Semenanjung bagi memperkuatkan jentera masingmasing,” katanya.



