BANGKOK: Thailand membuktikan ranking ke-12 dunia bukan sekadar catatan di atas kertas apabila mempamerkan aksi dominan menewaskan Malaysia dalam separuh akhir acara T10 wanita Sukan SEA.
Perlawanan di Terdthai Cricket Ground pada Khamis (11 Disember) bermula dengan skuad Thailand memukul terlebih dahulu dan memanfaatkan permulaan agresif untuk meletakkan sasaran 82 larian bagi dua wicket dalam enam over.

Pemain Sarawak, Nur Dania Syuhada, yang berada dalam pasukan utama Malaysia, menampilkan aksi baik namun pasukan masih bergelut menyekat momentum pemarkahan Thailand sepanjang innings.
Rentak serangan Thailand sukar dipatahkan dengan pukulan konsisten ke sempadan serta kehilangan wicket yang minimum.
Tekanan mengejar sasaran tinggi itu menyukarkan Malaysia membina rentak apabila memasuki sesi batting.
Malaysia gagal menemui momentum ketika mengejar selepas wicket jatuh pada awal permainan dan barisan pemukul terus tumbang secara berterusan, sekali gus menyukarkan usaha mengejar kadar larian yang diperlukan.
Thailand pula tampil kemas dalam aspek boling dan tangkapan, seterusnya mengekang peluang Malaysia menyaingi kadar larian yang ditetapkan.
Malaysia akhirnya hanya mengumpul 31 larian untuk enam wicket dalam enam over (31/6, (6.0), jauh di bawah sasaran Thailand.
Perlawanan ini jelas mempamerkan kelebihan pengalaman serta kualiti permainan pasukan bertaraf dunia itu yang mara ke pusingan akhir T10 Sukan SEA.
Malaysia selepas ini akan berdepan Indonesia, yang menundukkan Myanmar dengan skor 61/6 (10.0) berbanding 44/10 (8.3), dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.



