ARTIKEL

Kekurangan tenaga kerja, kos buruh jadi cabaran sektor pertanian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Langkah lebih kukuh dan bersasar perlu dilaksanakan bagi membantu petani di Sarawak, khususnya Bawang Assan yang kini berdepan tekanan akibat ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan kos pengeluaran pertanian.

ADUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, bantuan tersebut penting memandangkan petani di kawasan berkenaan memainkan peranan besar dalam memastikan bekalan makanan dan kestabilan harga sayur-sayuran khususnya di Sibu terus terjamin.

“Sebahagian besar bekalan yang digunakan setiap hari di bandar Sibu berasal dari ladang di kawasan Bawang Assan selain turut membekalkan hasil pertanian ke bandar dan bahagian berhampiran.

“Sumbangan mereka bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi merupakan perkhidmatan penting kepada masyarakat dan keselamatan makanan Sarawak secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, konflik berterusan di Asia Barat dan gangguan ekonomi global turut memberi kesan langsung kepada sektor pertanian tempatan termasuk peningkatan harga bahan api, kos pengangkutan, baja, racun perosak, benih, alat ganti jentera serta banyak lagi.

“Masalah kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos buruh turut menjadi cabaran utama sektor pertanian ketika ini.

“Bidang pertanian memerlukan tenaga kerja yang ramai, namun generasi muda kini semakin kurang berminat menceburi sektor tersebut. Akibatnya, banyak ladang bergantung kepada pekerja asing dan kos penggajian mereka terus meningkat,” katanya.

Tambah beliau, keadaan cuaca yang tidak menentu, banjir serta masalah sistem saliran turut menjejaskan pengeluaran dan produktiviti hasil pertanian.

Selain itu, para petani juga berdepan ketidakstabilan pasaran apabila harga sayur-sayuran berubah secara mendadak bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap bekalan semasa.

“Saya berharap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah dapat mempertimbangkan beberapa langkah segera termasuk penyediaan subsidi baja dan bantuan pembelian pukal bagi membantu petani menangani peningkatan kos input pertanian.

“Bantuan subsidi pengangkutan hasil pertanian juga dapat membantu petani kekal berdaya saing selain memastikan harga sayur-sayuran kekal mampu milik,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan juga boleh memperkukuh perkhidmatan pengembangan pertanian dan sokongan teknikal dengan memperkenalkan kaedah pertanian moden serta lebih cekap kepada petani.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Langgur ngemanah ICQS Biawak agi dipansik

KUCHING: Langgur ngemanahka Kompleks Imigresyen, Kastam, Kuarantin enggau Pengelikun (ICQS) Biawak agi dipansik nengah ‘feasibility study’ Pelin Besai Pemansang Kandang Menua Sarawak. Menteri Dagang Temuai,