MINGGU ini, ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam yang dijadual bermula awal Jun.
Terimbau pula pengalaman sendiri sekitar 2005. Saya melangkah masuk ke tingkatan enam (aliran Sains) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bahasa Malaysia Saratok.
Kini selepas lebih dua dekad, landskap pendidikan tingkatan enam telah melalui pelbagai transformasi yang signifikan dari segi sistem, imej dan kualiti pengajian.
Justeru, adik-adik serta ibu bapa perlu memahami tingkatan enam atau prauniversiti bukan lagi laluan pilihan terakhir, sebaliknya satu platform kukuh untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Salah satu kelebihan paling ketara ialah kos pengajian yang Jauh lebih rendah berbanding program lain seperti matrikulasi, asasi atau diploma.
Malah, di tingkatan enam, pelajar tidak dikenakan yuran pengajian. Pelajar boleh memilih sama ada tinggal di asrama secara percuma atau sebagai pelajar harian.
Menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), setiap tahun kerajaan memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi menyokong pendidikan prauniversiti termasuk tingkatan enam, merangkumi penyediaan infrastruktur, elaun pelajar seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) serta latihan guru.
Selain itu, sistem pengajian tingkatan enam kini berasaskan semester dengan penilaian berbentuk Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), selari dengan sistem di universiti.
Tempoh pengajian juga singkat iaitu hanya satu tahun setengah. Transformasi turut melibatkan aspek imej dan persekitaran pembelajaran.
Pelajar tidak lagi terikat dengan pemakaian seragam sekolah, sebaliknya dibenarkan berpakaian kemas seperti di universiti termasuk pakaian kasual, batik atau tradisional, tertakluk kepada garis panduan KPM.
Pendekatan ini secara tidak langsung membantu pelajar menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi kelak.
Namun, perkara paling penting ialah sikap dan pertimbangan realistik dalam membuat pilihan.
Ukur baju di badan sendiri. Bagi keluarga berpendapatan sederhana atau rendah, tingkatan enam merupakan pilihan terbaik dan paling berbalol.
Tidak wajar menolak tawaran hanya kerana persepsi kononnya tiada kelas, masih seperti sekolah atau dianggap sukar.
Hakikatnya, kekangan kewangan tetapi ingin mengejar gaya hidup mewah hanya akan membebankan diri sendiri.
Pengalaman saya menemu bual seorang guru berpengalaman lebih 20 tahun mengajar di tingkatan enam merumuskan laluan ini adalah “Jalan pintas dan kos rendah ke menara gading.
Walaupun silibusnya mencabar, ganjarannya setimpal. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh Cambridge Assessment International Education di United Kingdom.
Statistik menunjukkan STPM antara kelayakan prauniversiti yang mempunyai standard akademik tinggi dan diiktiraf oleh banyak universiti terkemuka dunia.
Malah, lepasan STPM berpeluang memohon ke universiti luar negara selain institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.
Di Malaysia, ribuan pelajar STPM setiap tahun berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam, termasuk dalam bidang kritikal.
Selain itu, fleksibiliti sistem membolehkan pelajar mengulang peperiksaan bagi semester tertentu sekiranya keputusan kurang memuaskan, sekali gus memberi peluang kedua untuk memperbaiki pencapaian.
Pelajar juga dibimbing oleh guru-guru berpengalaman yang mahir dalam bidang masing-masing, menjadikan proses pembelajaran lebih tersusun dan berfokus.
Walaupun pelbagai kelebihan ditawarkan, masih wujud persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap tingkatan enam.
Hal ini berpunca daripada kurangnya pendedahan dan kefahaman terhadap perubahan serta penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan.
Hakikatnya, lebih 50 tahun kewujudan sistem tingkatan enam telah membuktikan keberkesanannya sebagai laluan pendidikan yang berdaya saing dan inklusif.
Tuntasnya, jangan sesekali memandang rendah tingkatan enam. Buang jauh-jauh stigma ia pilihan sukar, pilihan terakhir atau membuang masa.
Sebaliknya, lihatlah la sebagai peluang keemasan, iaitu laluan bijak dan kos efektif untuk mencapai impian ke menara gading.
Yang penting, jika memilih untuk bersikap positif, carilah kelebihan dan peluangnya.
Namun jika melihat dengan perspektif negatif, maka kekurangannya juga yang akan menonjol. Pilihan di tangan anda.



