BETONG: Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu menaja 100 pesakit katarak untuk mendapatkan rawatan sepanjang Kem Katarak dan Pterygium Betong kali ke-20 yang bermula hari ini hingga 22 November di Hospital Betong.
Seramai 103 pesakit katarak dan 28 pesakit pterygium telah mendaftarkan diri untuk kem kali ini.
Dengan 103 pembedahan katarak, Kem Katarak dan Pterygium Betong kali ke-20 merupakan yang terbesar pernah diadakan di Hospital Betong.
Ini membuktikan komitmen berterusan bagi memastikan rakyat Betong mendapat akses kepada rawatan mata berkualiti, dekat dengan rumah mereka.
Tiga pesakit pula menggunakan Lensa Intraokular (IOL) yang dibeli sendiri.
Untuk rekod, kem ini telah bermula sejak 2013 dan terus menjadi platform penting membantu rakyat di Betong mendapatkan rawatan mata berkualiti tanpa perlu menanggung kos tinggi atau perjalanan jauh ke bandar besar.
Ia dianjurkan bersama oleh Lions Club Kuching Metro, Klinik Katarak Kesihatan Kementerian Malaysia (4KM) dan Jabatan Oftalmologi Hospital Umum Sarawak dengan fokus memastikan setiap pesakit mendapat rawatan yang selamat dan berkesan.






