ARTIKEL

Kembali ke Rumah Putih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MEMPEROLEH 277 undi perwakilan Pilihan Raya Presiden AS 2024, membawa Donald Trump dari Republikan kembali ke Rumah Putih sekali lagi, menobatkan beliau Presiden AS ke-47. Pada 2016, menjadi Presiden AS ke-45, Trump menewaskan bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton.

“Jadikan Amerika Hebat Lagi” slogan kempen Trump – sejauh mana gaya kepemimpinan Trump kali ini memberi impak ke atas dasar ekonomi Asia; khususnya China serta negara Asean di Asia Tenggara?

Juga kesan ke atas geopolitik Asia Barat yang ketika berkuasa dahulu, Trump direkodkan menjinakkan negara Arab memeterai Perjanjian Ibrahim (Abraham Accords), menormalisasikan hubungan Arab-Israel bawah kuasa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika itu.

Sebagai Presiden lepas, dunia masih ingat bagaimana Trump, 78, mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, sedangkan di bawah PBB, kedudukan Baitulmuqaddis berkecuali dan tidak diputuskan statusnya.

Ketika berkuasa sebagai Presiden ke-45 AS, Trump juga terkenal dengan kontroversinya “mendahulukan Amerika”. Hal ini membawa kesan tersendiri kepada geopolitik global ketika itu.

Semua orang tahu, siapa pun menerajui AS, dasar luar khususnya berkaitan politik AS tidak jauh berbeza. Berjanji menamatkan segera perang di Gaza dan Ukraine, dunia mahu melihat bagaimana Trump melakukan hal ini.

Sesetengah pengkritik mengatakan, hubungan “baik” Trump dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin segera membawa kepada keamanan di Eropah. Manakala, di Asia Barat pula, Trump melakukannya mengikut rentak dan keperluan sekutunya Netanyahu.

Pengkritik turut melihat, hubungan AS-China semakin tegang di bawah kuasa Trump kali ini dan dijangka lebih “tegas” berbanding pemerintahan Trump 2016 termasuk bawah pemerintahan Joe Biden.

HALANGAN

Semasa kempen, Trump berjanji mengenakan tarif 60 peratus ke atas eksport China yang dipercayai mampu mengekang pertumbuhan ekonomi China.

Pemerhati politik dan ekonomi dunia mengatakan, dasar ini akan memberi kesan kepada negara lain yang turut mengeksport produk kepada China termasuk Malaysia. 

Selepas ini, bagi negara Asean keseluruhannya, kesannya, bakal menghadapi halangan dalam mengeksport pelbagai barangan ke AS. Dan bukankah Trump juga mengatakan beliau tidak akan membenarkan syarikat yang berpangkalan di AS beroperasi di negara luar khususnya China.

Sementara, pada masa yang sama, beberapa negara Asean termasuk Malaysia, Indonesia dan Vietnam telah pun menjadi anggota mitra BRICS (kumpulan negara Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan 2009).

Sepuluh negara mitra lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda dan Uzbekistan.

Manakala, terkini BRICS sudah mempunyai 10 anggota tetap dengan tambahan penyertaan Arab Saudi, Ethiopia, Iran, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir dan Republik Demokratik Congo. Lihatlah bagaimana BRICS mula mengheret Asia Barat ke ketumbukan baharu kuasa ekonomi.

Bagaimana Trump akan menangani hal ini?

Dari segi ekonomi dan politik, BRICS memang dilihat sebagai pesaing kepada Kesatuan Eropah, G7 dan negara maju.

TATABAHARU DUNIA

Minat negara blok Timur Tengah yang lain terhadap BRICS bakal membawa kekuatan baharu dalam Tatabaharu Dunia (New World Order) yang memberi tantangan ke atas hegemoni Barat dalam sistem antarabangsa.

Di sini, China dan Rusia memainkan peranan tersendiri turut “membawa jauh” negara Asean dan Asia dari AS. Berbaik dengan Trump, tidak bermakna Rusia mengabaikan kepentingannya dengan China sejauh berkaitan Laut China Selatan. Begitu juga sebaik apa-apa pun China dengan Asean, Beijing tidak meringankan dasarnya sejauh berkaitan Laut China Selatan.

Penganalisis politik dunia percaya Trump tidak menyukai BRICS kerana ketumbukan ini cuba menafikan penggunaan dolar AS dalam urusan dagang dan perniagaan sesama mereka.

Ia bukan berita gembira buat Trump yang kini menerajui AS kerana melalui “Make America Great Again” janji Trump menaikkan ekonomi AS melalui kekuatan dolar. Kini, berdirinya Trump di Rumah Putih, memberi cabaran tersendiri kepada Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025. Apatah lagi Malaysia sudah berjinak-jinak dengan BRICS.

Betapapun, dunia tanpa AS, tentulah tidak berwarna-warni. Di mata AS, negara Asean seperti Malaysia dan Indonesia masih penting, begitu juga sebaliknya.

BANGKIT

Mungkin dengan pemerintahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang mempunyai latar belakang tentera, hubungan ASIndonesia akan lebih baik di bawah Trump.

Manakala, bagi Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kebangkitan politik luar biasa dan kemenangannya pada Pilihan Raya Presiden AS, berharap babak baharu ini membawa peluang Malaysia bergerak ke hadapan dengan kerjasama, optimisme dan matlamat bersama.

Bagi Anwar, tidak meminggirkan AS, negara tersebut kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia Pasifik.

Atas nama Asean, dengan Malaysia menjadi Pengerusi Asean pada 2025, Anwar berkata, Malaysia berharap AS akan memberi nafas baharu pelibatannya dengan Asia Tenggara. Ke depan, isu pentadbiran Trump dengan retorik politiknya satu hal.

Namun, dengan mempertaruhkan pengasas SpaceX dan pemilik media sosial X, Elon Musk memimpin Jabatan Efisiensi Pemerintah, pentadbiran Trump berharap dapat menyusun isu kewangan dan efisiensi bajet pemerintahan. Khabarnya, Amandemen Ke-22 Konstitusi AS melarang presiden menjawat lebih dua period, justeru ini peluang terakhir Trump membuktikan keupayaan dan relevan diri beliau di mata rakyat AS dan dunia.

Bagi peminat rancangan realiti televisyen The Apprentice 2004, wajah dan perwatakan Trump ada di situ, yang pada penghujung rancangan mengungkapkan “You’re fired!”.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU