Sudah menjadi kebiasaan setiap kali Syawal, pelbagai pihak termasuk persatuan, pertubuhan dan individu mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Ramahtamah Aidilfi tri dan rumah terbuka sebagai platform mengeratkan silaturahim.
Tidak terkecuali, Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) turut meraikan Syawal dengan menganjurkan Majlis Jarah Rayo atau Majlis Jarah Raya yang berjaya menghimpunkan lebih 300 tetamu dalam kalangan warga Saribas, tua dan muda.
Majlis yang berlangsung pada 12 April lalu itu menyaksikan kehadiran tetamu dari pelbagai daerah seperti Pusa, Debak, Spaoh, Beladin dan Samarang, selain dari sekitar Bahagian Betong serta warga Saribas yang kini menetap di bandar raya Kuching.
Bukan itu sahaja, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu bukan Islam yang dijemput daripada Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak.
Suasana bertambah meriah dengan kehadiran mereka dan, secara tidak langsung, majlis ini turut mempererat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak. Atur cara majlis pada hari tersebut bermula seawal jam 8.00 dengan ketibaan para tetamu, diikuti ketibaan tetamu jemputan khas pada jam 8.45 pagi.
Bacaan doa oleh Ustaz Madihi Jamali berlangsung pada jam 9.00 pagi, kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan serta perasmian oleh Pengerusi Perwaris Profesor Madya Dr Borhan Budeng.
Menurut Dr Borhan, tujuan dan matlamat Majlis Jarah Rayo anjuran Perwaris adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli Perwaris dan warga Saribas; memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Saribas; memperkasakan kedudukan Perwaris dalam masyarakat melalui program serta aktiviti yang mampan; memperkasakan pendidikan dalam kalangan anak-anak warga Saribas.
“Keupayaan anak-anak Saribas bukan sahaja dari segi fizikal, mental, dan emosi, tetapi juga untuk menggarap segala keperluan yang menjadikan mereka insan yang intelektual dan mampu bersaing di masa hadapan.
“Selain itu, Perwaris bersedia dan sentiasa menjunjung sebarang polisi kerajaan demi kesejahteraan ummah,” ujarnya.
Majlis Jarah Rayo turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh salah seorang penyanyi tersohor dan veteran Sarawak, Safar Gapar, yang cukup dikenali dengan lagu popularnya Ros Kalas dan Mun Masih Muda, selain lagu-lagu hari raya yang menghiburkan para tetamu.
Selain itu, terdapat juga persembahan nyanyian karaoke lagulagu raya oleh ahli-ahli Perwaris dan warga Saribas.
Persembahan nyanyian ini turut diselang-selikan dengan cabutan nama tetamu bertuah yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Menambah keistimewaan majlis, satu dendangan syair bertajuk Syair Dang Isah Tandang Sari disampaikan oleh Dr. Abang Hud Abang Engkeh.
Rata-rata tetamu yang hadir kelihatan terhibur sambil berpeluang bersalam-salaman antara satu sama lain, sambil menikmati juadah yang disediakan.
Majlis ini berlangsung dengan jayanya di Dewan Mutiara Melewar, Tinggian Demak, Petra Jaya, Kuching — kira-kira 6.5 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.
Sebelum majlis bersurai, ahli jawatankuasa pengelola turut mengambil peluang untuk merakam gambar kenangan di atas pentas khas yang disediakan.
Majlis bersurai pada jam 1.00 tengah hari dan meninggalkan seribu satu kenangan manis buat para tetamu yang berpeluang bersalam-salaman serta bermaaf-maafan sempena sambutan Aidilfi tri tahun ini.



