KUCHING: Cadangan untuk mengenakan kenaikan caj perkhidmatan kesihatan kepada golongan kaya pada Kertas Putih Kesihatan (HWP) tidak akan menjejaskan golongan M40.
Ahli Parlimen Bandar Kuching merangkap Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Dr Kelvin Yii berkata, cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu sebaliknya akan meningkatkan bantuan dan perlindungan kesihatan kepada golongan terbabit.
“Saya nak tegaskan kita berpegang teguh kepada prinsip kesihatan sejagat yang bermaksud bahawa orang miskin atau bawah M40 akan sentiasa diberi bantuan dan perlindungan dari segi kesihatan.
“Isu itu sedang dikaji oleh pakar bukan sahaja kesihatan tetapi ekonomi untuk mengoptimumkan peruntukan namun saya beri jaminan jika ada (cadangan diluluskan) ia akan dilakukan secara beransur-ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM pada Rabu, ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Peralatan Kebombaan kepada Komuniti Kampung Selangan Batu, hari ini.
Menurutnya, kertas putih reformasi kesihatan itu dirangka sebagai pelan tranformasi kesihatan jangka masa pendek, sederhana dan juga panjang sehingga 15 tahun.



