KUCHING: Cukai perkhidmatan yang akan dinaikkan dari enam kepada lapan peratus dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi domestik negara.
Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching, Datuk Sim Kiang Chiok berkata, ia melihat kepada pembentukan cukai mewah yang mencecah lima hingga 10 peratus terhadap penduduk tempatan.
Menurutnya, sekali gus dijangka bakal memperlahankan permintaan terhadap barangan mewah di Malaysia.
“Cukai keuntungan modal 10 peratus untuk jualan saham bagi syarikat tempatan yang tidak tersenarai akan melembapkan urus niaga sedemikian.
“Mungkin juga akan memperlahankan keusahawanan dan meningkatkan kos dalam menjalankan perniagaan negara,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan semalam.
Tambahnya, insiatif dana pinjaman dan pembiayaan RM44 bilion untuk syarikat kecil dan sederhana (SME) dan mikro baik untuk menyokong ekonomi dan persekitaran perniagaan mencabar menjelang tahun 2024.
Sim pada sama menegaskan usaha positif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang memasukkan kemudahan kewangan sebanyak RM330 juta untuk bumiputera Sarawak, Sabah dalam bidang usahawan seni dan kraf.
“Kita berharap agar dana ini menjadi inklusif untuk semua kaum di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar peruntukan pembangunan Sarawak iaitu RM5.8 bilion akan mengfokuskan penambahbaikan jalan, jambatan serta utiliti luar bandar di negeri ini.



