Kepada PUAN HONEY daripada SITI KHADIJAH

MANUSIA datang dan pergi dalam hidup kita memang perkara biasa. Ia realiti kehidupan.

Saya, anda dan kalian semua akan menjadi pondok pandu lalu seseorang yang bermakna bagi kita. Sebagaimana rapat dan sayang pun kita kepada seseorang, kita tetap menjadi pandu lalu untuknya singgah. Itulah kehidupan.

Tetapi perkongsian yang kami terima lewat e-mel yang dihantar, bukan berkenaan kisah persinggahan atau pandu lalu, ia malah merealisasikan sesuatu yang mustahil, memungkinkan persinggahan menjadi pelabuhan terakhir.

Mahu dikenali sebagai Siti Khadijah berusia pertengahan 30- an, dia mahu luahan hatinya dikutip menjadi berita.

Perkongsiannya kami jadikan catatan, yang kami rasa memberi inspirasi dan mengubah pandangan wanita berhubung poligami.

Seram bukan? Sebut sahaja poligami, siapa wanita mengimpikannya?

Kita bukan setabah wanita pada zaman Rasullullah SAW.

Namun, kalian baca suratnya yang dia tujukan khas untuk suaminya dan Puan Honeynya.

Kepada lelaki yang aku cintai, Ketika aku menulis luahan rasa ini, aku berada dalam keadaan sedar dan waras. Aku tidak emosional seperti selalu. Aku tidak lagi menangis.

Pasti ya, ketika ini aku melihat di luar jendela, gelap melingkari jalan di luar sana, ada bulan bersinar dikelilingi bintang yang berkemerlipan.

Sudah pasti sekarang, jam 12 tengah malam, engkau suamiku, tengah memeluk erat isterimu. Tunggu… pasti ada yang tertanya-tanya, jika aku isterimu siapakah wanita yang engkau peluk erat itu?

Ya, dia maduku. Sudah pasti, wanita lain yang mendengarnya menganggap aku isteri paling bodoh kerana memberi bayangan suamiku meniduri wanita lain.

Tidak, bukan bodoh dan tidak juga bahlol.

Apabila ditanya, adakah aku tiada perasaan?

Tiada cinta dan kasih?

Tidak, semua itu aku miliki. Cinta, kasih dan rasa sayang aku masih tebal malah semakin tebal hari ke hari.

Malah jika suamiku sebuah mimpi indah, aku ingin tidur untuk selamanya.

Pengajaran dan iktibar Yang aku catat bukannya kisah kehidupan kami bertiga, tetapi aku mahu kisah tersebut dijadikan iktibar kepada isteri yang dimadukan.

Perasaan ini lebih kepada kasih yang ikhlas.

Aku tahu, tidak semua wanita seperti aku tetapi percayalah, andai kata kita realistik dan menganggap, hidup ini singkat untuk saling membenci, yakinlah semua isteri beralih pandangan seperti aku.

Dengan nama Allah yang Maha Mengetahui, aku pada mulanya sangat sakit hati apabila mengetahui aku dipoligamikan.

Semua wanita merasainya, bohonglah jika tidak marah kerana kita bukan malaikat.

Marah? Ya suamiku, aku pernah marah. Aku pernah marah sekali sama kamu.

Ketika menerima sampul berisi gambar pernikahanmu, aku diam dan terasa jatuh dari gunung.

Aku teringatkan janjimu, mana mungkin di celah-celah engkau dan aku ada wanita lain.

Aku ingat janjimu, akulah wanita terakhir kaunikahi.

Tetapi selepas itu, satu hari aku menjadi realistik.

Apabila engkau jatuh ke gaung paling dalam, aku percaya hanya kataku yang mengangkatmu.

Ada seseorang yang warak pernah menegurku, ketika suami kamu jatuh ke titik paling rendah, doa siapa yang paling mujarab?

Doa siapa yang ada mukjizat?

Doa seorang isteri yang reda, katanya… yang reda.

Bukan doa biasa-biasa, berdoalah untuk suami nescaya Allah mendengar doa isteri yang ikhlas.

Jatuh pada titik paling rendah

Sejak itu suamiku, aku reda dengan perjalanan jatuh bangunnya kamu.

Aku reda apa-apa pun yang berlaku kepada kamu, aku reda.

Selagi aku reda, aku percaya Allah luaskan jalan kepadamu.

Jangan pernah mengalah kepada cabaran dunia lelakiku.

Aku sentiasa ada di sisimu.

Engkau pernah bertanya kepadaku tentang kesilapan yang pernah kamu lakukan membuat kamu rasa jatuh.

Aku katakan, kita diuji dengan masalah untuk membuka mata kita kepada dua perkara, menyedari kesilapan diri dan memperbaiki kelemahan.

Mungkin engkau pernah berasa jatuh ke titik paling rendah tetapi yakinlah, Allah lebih dekat dengan urat lehermu dan Dia tidak pernah meninggalkanmu seorang diri.

Pernahkah mendengar mengenai pertanyaan ketika Nabi Musa – Di mana aku mencari-Mu, ya Allah? Lantas Allah SWT menjawab

“Carilah Aku di sisi orang yang hancur hatinya.

Sesungguhnya Aku dekat dengan mereka setiap hari pada ukuran sejarak, sekitar dua lengan.”

Nah lelakiku, untuk apa lagi cabaran dan dugaan yang diterima kita, jika kita bukan orang terpilih yang diyakini mampu mendepaninya.

Engkau tahu suamiku, aku kini lebih tenang dan terus berdoa untuk untukmu.

Hidup memang ada pasang surutnya, aku tidak mahu takbur dalam menilai kelemahanmu.

Aku percaya kepada rezeki Allah, selagi kau percaya Dia penentu segalanya dan mencari-Nya ketika matamu basah, yakinlah ada hikmah besar di sebalik semua musibah.

Lantas, kerana itu aku menyedari, untuk apa aku menyeksamu dengan berlakon seolah-olah dia tidak wujud di antara kita.

Aku berfikir, untuk apa-apa aku menyeksa kamu dan aku sendiri terseksa.

Untuk apa kita berpura-pura tiada orang ketiga bersama-sama kita selama ini.

Kau masih meletakkan aku pada tanģga teratas, yang perlu diberi pilihan penuh.

Satu malam suamiku ketika sendirian, aku berfikir seksa engkau selama ini, terpaksa memilih dosa berbohong kerana hendak mengula-gulakan hatiku.

Engkau mencari alasan yang sama, walau hakikat kita berdua tahu, ke mana sebenarnya engkau berlabuh.

Aku mula tertanya-tanya, pasti kalian berdua berasa seksa, was-was untuk dipertonton kepada umum, derita menyimpan isteri yang tidak diiktiraf.

Ya, memang isterimu yang sah namun tidak diiktiraf kepada dunia.

Aku pun wanita, dia juga wanita pasti selama ini akan terasa.

Suamiku, apabila aku menilai dengan waras, sebenarnya engkau lebih terseksa.

Seperti kucing mengintai ikan goreng di bawah tudung saji, menunggu tuan rumah tidur untuk menikmatinya.

Seksa bukan? Mengapa aku tidak terfikir selama ini?

Engkau yang lebih terseksa kerana tidak mahu aku terluka, engkau memilih untuk berbohong.

Mengapa aku tidak sekali pun terfikir lukanya engkau menyimpan rasa bersalah terhadapku?

Jadi suamiku, selepas ini aku lepaskan deritamu.

Aku bebaskan rasa bersalah dan apa-apa sahaja yang membelenggumu.

Tak usah lagi berbohong kepadaku apabila ada waktunya engkau menghilang.

Aku reda, jika ini takdir kita. Namun suamiku, aku percaya kepada janjimu dulu, engkau tetap setia kepadaku.

Cuma ubahkan makna setia itu kepada engkau setia kekal bersama-samaku sebagai suamiku sampai akhir hayat.

Pada masa yang sama, engkau layani dan kasihi Puan Honey sebagaimana engkau mengasihiku.

Aku tidak pernah bermimpi untuk diteduhi payung emas, cukup aku tidak mahu engkau terasa terseksa dan bersalah kepadaku sepanjang hayatmu.

Pergilah kepadanya apabila engkau menginginkannya, pergilah dengan ikhlas aku memohonmu melakukan itu.

Namun aku harus berterima kasih kepada waktu. Waktu yang menentukan segala-galanya kerana aku percaya, ada luka yang sembuh oleh waktu.

Reda itu tenang Kepada Puan Honeyku, Aku menulis catatan ini kerana tidak tahu di mana aku harus luahkan rasa ini.

Di FB tidak mungkin, kerana itu perbuatan orang yang tidak matang.

Aku bukan seorang yang suka berkongsi kisah kewujudan kamu secara lisan.

Walaupun dunia mengetahuinya, namun untuk aku meluahkan terus terang sukar kecuali kepada dua lelaki yang aku paling hormat, bapaku dan guruku.

Tetapi aku percaya, dengan reda mereka, juga memberi keyakinan kepadaku untuk menerimamu.

Aku tidak tahu, di mana kekuatan aku dapat dan akhirnya menyedari, ia daripada mereka.

Sejak itu, setiap kali solatku, aku tidak pernah gagal menitip doa kepada kedua-duanya agar dipanjangkan umur dan dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat.

Itu doaku dan jika aku hidup 100 tahun lagi pun, nama kedua-duanya tidak pernah gagal untuk kusebut kerana aku yakin, doa anak perempuan selalu mendapat tempat di mata Allah.

Aku ingin pesan sama kamu Puan Honeyku, ketika suamimu bermanis muka, jangan tambah cuka di dalam cerianya.

Ketika suamimu duka, jangan lempar sekam api di dalamnya.

Ingat, ketika suaminya ditimpa masalah, jangan engkau tambah dengan kata-kata nista.

Kaupujuklah dia dengan apa-apa cara yang tidak melukakannya.

Aku tidak mengajarmu, aku hanya berkongsi perkara yang perlu dan harus engkau lakukan.

Jangan sesekali kasar bahasa dan menolaknya ketika dia berduka

Satu lagi, jangan cuba bersifat tamak.

Suami kita punya satu hati, yang boleh dibahagi kepada kepingan-kepingan kecil.

Satu bahagian untuk aku, satu bahagian untuk kamu, satu bahagian lagi untuk ruang peribadinya, satu lagi untuk anak-anak dan keluarga.

Hati lelaki ini besar, dia mampu membahagi malah kepada empat bahagian.

Maknanya, aku tidak menganggapmu sebagai perampas.

Pertemuan demi pertemuan kita harus engkau rahsiakan kerana aku yakin, dia berasa tidak enak dan rasa bersalah kepadaku.

Aku ingin terus menyayangimu dari kejauhan.

Walau mungkin ada manusia yang memandang aku sebagai isteri terbodoh, aku selalu yakin aku tidak pernah bersendirian kerana ada wanita lain di luar sana bergelar isteri pertama.

Jika aku yang pergi dulu, aku memintamu jagalah empat anakku, jika engkau yang dijemput dulu, aku akan menjaga mereka seperti anakku.

Kepada kedua-duanya, seperti tidak percaya adakah benar aku berubah seperti ini sekali?

Adakah aku ikhlas, ya aku ikhlas dan reda.

Yakinlah, aku perlu reda kerana hanya dengan redaku, perjalanan kedua-dua kamu dipermudah-Nya.

Yakin aturan Allah itu betul

Jangan pernah mengadu masalah kepada manusia lain, nun yang di atas sana Maha Mendengar, mengadulah kepada-Nya setiap kali hati kalian terusik, setiap kali mata kalian basah waima ketika kalian ketawa sekalipun, ingatlah Dia.

Teruskan hidup bertunjangkan agama, berkitabkan al-Quran dan pengajaran di dalamnya.

Ketika itu, hati kalian tenang dan sejahtera.

Aku doakan jodoh kalian berpanjangan sampai ke hujung nyawa.

Kini ketika aku sendirian malam, aku tidak perlu tertanyatanya, ke mana suamiku pergi.

Aku berterima kasih kalian kerana aku semakin tenang.

Terima kasih Suara Sarawak kerana menyiarkan catatan ini. – Puan Anisah Amran, 2 pagi, 27 Januari 2020.

Begitulah catatan daripada seorang wanita yang memohon dikongsikan kisahnya.

Bukan bertujuan menunjukkan dia seorang wanita yang hebat, bukan… dia sekadar mahu wanita yang berpoligami yakin dengan aturan Allah.

Katanya, jika semua isteri di dunia ini reda, nescaya ada terbit rasa penerimaan yang paling dalam di hati isteri pertama.

Terima kasih kepada Puan Siti Khadijah Amran, yang menghantar e-mel untuk dikongsi kebaikan kepada semua.

Baca dari sudut positif, bukan emosi.

Mungkin ada perkongsian lain yang wanita luar sana ingin kongsikan, boleh menghantarnya ke Nostalgia//suarasarawak.news@ gmail.com