ARTIKEL

Keputusan pantas, tepat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CINTAI kerja kamu sebagainana kamu mencintai lelaki kerana selagi cinta itu wujud, perasaan suka itu sentiasa ada waima dalam bahagia dan luka, menangis atau ketawa — kata bekas editor eksekutif kami ketika menyerahkan surat lantikan sebagai subeditor kepada saya.

Beliau yang kami panggil sebagai Pak Aziz menambah, jika kamu mahu berada di posisi selesa, terus jatuh cinta dengan kerja walaupun setiap organisasi ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Tambahnya, sebab itu, beliau mengibaratkan saya perlu mencintai kerja seperti saya mencintai lelaki yang ditakdirkan menjadi pasangan hidup.

Dalam kesempurnaan berumah tangga pasti ada kepincangannya di mana-mana, sama juga seperti kita di organisasi — tiada mana-mana organisasi yang terpaling sempurna.

Saya teringatkan kata-kata Pak Aziz selepas ada rakan menegur saya — mengapa saya perlu ke pejabat pada waktu cuti?

Soalan itu diajukan kepada saya dengan seolah-olah tindakan saya hadir bekerja di luar waktu rasmi adalah satu bentuk penyerahan diri tanpa rela.

Dan, jawapan yang paling tepat bagi saya — kerana setiap hari kita perlu jatuh cinta dengan kerja.

Lagi pun dalam dunia media, tiada hari yang tiada kerja.

Cerita tidak pernah menunggu Isnin, kecemasan tidak pernah berjanji hadir pada waktu pejabat dan mana-mana keputusan dibuat tidak pernah menetapkan harus dibuat  pada jam pejabat.

Kadang-kadang berita besar meletup ketika kita sedang bersarapan. Kadang-kadang panggilan kecemasan tiba ketika kita baru hendak tidur.

Kalau kita yang bekerja di agensi media menunggu masa yang sesuai, nescaya banyak hal yang akan terlepas.

Mungkin dunia mengajar kita sejak dulu bahawa bekerja ada sempadannya seperti dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Jumaat, selebihnya adalah hak mutlak untuk berehat. Logiknya boleh diterima, namun realitinya kini semakin berubah.

Saya tidak menafikan pentingnya rehat tetapi dalam banyak keadaan, saya percaya kerja bukan sekadar tentang menyiapkan tugasan, ia tentang tanggungjawab yang lebih besar.

Ada keputusan yang jika dilengahkan sehari akan membawa kesan bermingguminggu.

Ada tindakan yang jika tidak digerakkan lebih awal, akan menjejaskan keputusan besar yang memberi kesan bertahun-tahun.

Maka turun ke pejabat pada hari cuti, bagi sebahagian daripada kami, bukan soal terpaksa tetapi soal tanggungjawab, kesiapsiagaan dan amanah yang dipegang.

Kadang-kadang turun pejabat bukan kerana orang suruh tetapi kerana hati belum tenang selagi teringat ada benda yang perlu disiapkan.

Budaya kerja hari ini sudah bergerak jauh daripada sekadar buat apa-apa yang disuruh. Kebanyakan organisasi tidak lagi mencari pekerja yang hanya memenuhi diskripsi tugas tetapi yang mampu melangkaui garis itu — menjadi tenaga serba boleh yang bukan sahaja cekap, tetapi bijak membaca konteks dan sanggup belajar tanpa menunggu arahan.

Kita perlu melihat kerja sebagai ibadah, amanah dan misi — bukan sekadar syarat mencari gaji.

Namun malangnya, semangat sebegini kadangkala dipandang pelik, dianggap terlalu naif, terlalu mengikut peraturan dan ada ketika disalah erti sebagai tidak bijak mempertahankan hak.

Walhal, keterlibatan proaktif bukan bermaksud menyerah diri, tetapi latihan kendiri untuk menjadi pekerja yang bersedia lebih awal daripada diminta.

Realitinya, dunia tidak lagi memberi ganjaran kepada mereka yang hanya ikut arahan.

Dunia memberi kepercayaan kepada mereka yang boleh menyelesaikan masalah sebelum masalah berlaku.

Yang dapat memberi keputusan tepat sebelum tiada keputusan langsung.

Sama ada dalam sektor awam, swasta atau dunia kewartawanan, kita kini berada pada era kefleksibelan bukan lagi pilihan tetapi survival.

Namun fleksibel mesti datang dengan kepercayaan.

Apabila pekerja sedia turun tangan sebelum disuruh, majikan juga akan sedia memberikan ruang, pengiktirafan dan laluan ke atas.

Dan, saya rasa, tiada manamana ketua yang tidak mengiktiraf kakitangan yang rajin dan boleh diharap. Yang tidak perlu disuruh, tetapi sudah bergerak.

Yang menganggap amanah itu bukan seperti borang perlu hantar, tetapi nyawa yang perlu dijaga.

Realiti hari ini menuntut manusia bukan sekadar patuh, tetapi ada nilainya.

Bukan sekadar rajin, tetapi berniat menyelesaikan tugasan dan menggerakkan misi.

Maka, jika hari ini ada kakitangan yang sanggup bergerak lebih jauh, jangan cepat menilai bahawa dia tidak pandai jaga diri dalam bekerja.

Mungkin dia sedang mendidik dirinya menjadi lebih bersedia.

Jangan terlalu cepat menyimpulkan bahawa yang datang pejabat pada hari cuti tidak ada kehidupan peribadi. Mungkin itulah cara dia melindungi masa depan daripada keciciran.

Kerana akhirnya, masa depan bukan dimiliki oleh mereka yang menunggu arahan tetapi oleh mereka yang sudah bersedia sebelum dunia memanggil mereka.

Yang bekerja bukan kerana disuruh tetapi kerana faham mengapa kerja itu perlu disegerakan.

Bekerjalah bukan sekadar untuk cukup tetapi untuk memberi makna yang lebih besar kerana pada akhirnya, yang membezakan kita bukan jumlah jam kita hadir tetapi seberapa dalam cinta kita kepada amanah yang kita pikul.

BERITA LAIN

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

DALAM politik, kata-kata adalah senjata. Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya. Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan

BERITA TERBARU