KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa Malaysia tidak membayar sebarang tol bagi laluan kapal Petronas melalui Selat Hormuz, sekali gus menafikan dakwaan tular di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibentangkan oleh Petronas dan diteliti dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam, dan mendapati maklumat yang tersebar berkemungkinan berpunca daripada kekeliruan warganet terhadap tajuk berita tertentu.
“Kita mengambil maklum bahawa terdapat beberapa kapal (Petronas) yang masih dalam perjalanan dan pada ketika ini menunggu giliran untuk melepasi Selat Hormuz, kita tidak membayar apa-apa tol seperti yang didakwa.
“… mungkin berpunca daripada tajuk berita yang telah disalah erti oleh warganet, namun kita tidak membayar apa-apa tol dan pada waktu ini keadaan masih terkawal,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Mengulas penyebaran grafik palsu berkaitan harga minyak, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata pengumuman rasmi harga mingguan RON95, RON97 dan diesel hanya dibuat oleh Kementerian Kewangan pada setiap Rabu.
“Biasanya maklumat hanya akan diterbitkan selepas 6 petang setiap Rabu.
Selain daripada pengumuman rasmi Kementerian Kewangan, sebarang grafik atau maklumat lain yang disebarkan adalah tidak benar atau palsu,” katanya.



