Kerajaan sentiasa konsisten perjelas hutang negara – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa konsisten sama ada di Parlimen ataupun kepada pihak media ketika menerangkan hutang negara, kata kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, ia merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa telus mengenai hal ini dalam Laporan Tinjauan Fiskal.

“Terdapat banyak persoalan mengenai hutang negara baru-baru ini, termasuk bagaimana ia didefinisikan serta bagaimana ia bertambah dan sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan had hutang negara memandangkan kerajaan melancarkan pelbagai pakej rangsangan tahun lalu.

“Hutang kerajaan Persekutuan merangkumi segala jenis hutang sama ada dalam atau luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul menegaskan, had setiap jenis hutang di bawah lunas undang-undang masih dipatuhi bagi memastikan disiplin dalam pengurusan fiskal negara.

Katanya, langkah ini dijelaskan dan diterima agensi penilaian antarabangsa dan penganalisis.

Menjelas lanjut, beliau berkata, hutang dalam negara tertakluk kepada Akta Pinjaman (Tempatan) 1959, Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946.

Beliau berkata, akta ini meliputi MGS, MGII dan MITB serta Bil Perbendaharaan (MTB).

Katanya, di luar akta ini, hutang dalam negara turut membabitkan Sukuk Perumahan Kerajaan kerana sebelum tahun 2016, pinjaman perumahan awam masih dianggap sebagai hutang negara, lebih kurang tiga peratus daripada keseluruhan hutang kerajaan.

“Sejak tahun 2016, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) ditubuhkan dan bertanggungjawab menguruskan membiayai pinjaman perumahan bagi penjawat awam,” katanya.

Sementara itu katanya, hutang luar negara atau pinjaman pesisir luar adalah untuk projek seperti pinjaman daripada Agensi Koperasi Antarabangsa Jepun (JICA) atau Bank Pembangunan Islam (IDB) dan pinjaman pasaran seperti sukuk global atau Bon Samurai.

Katanya, Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 turut menetapkan had sebanyak RM35 bilion saja dan had ini sentiasa dipatuhi.

Tengku Zafrul berkata, apabila Kementerian Kewangan melaporkan hutang negara sebanyak RM820.7 bilion atau 58.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat hujung 2020, dan menjangkakan hutang akan mencecah 58.8 peratus pada tahun 2021, ia merujuk kepada MGS, MGII dan MITB seperti ditakrif dan diperuntukkan mengikut Akta Covid-19.

“Apabila mengambil kira pinjaman pesisir luar dan pinjaman lain, jumlah hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM879.6 bilion atau 62.2 peratus daripada KDNK

“Sebelum COVID-19, had hutang kendiri sebanyak 55 peratus diguna pakai bagi hutang domestik dan luar negara tetapi apabila negara dilanda COVID-19, dasar fiskal yang lebih fleksibel diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup.

“Oleh yang demikian, had bagi MGS, MGII dan MITB diubah kepada 60 peratus dan diluluskan di Parlimen melalui Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, akta ini diluluskan dengan sokongan hampir semua Ahli Parlimen pada masa itu.

“Ini membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro, menyelamatkan pekerjaan melalui subsidi upah dan menyokong perniagaan untuk terus beroperasi.

Pada masa sama, siling hutang lebih tinggi turut membenarkan kerajaan untuk sentiasa bersedia terutama sekali di dalam memberi bantuan tambahan kepada rakyat yang masih terkesan. – BERNAMA

Suara Sarawak