ADA satu perkara yang saya semakin faham walaupun hakikatnya itulah undangundang dalam kehidupan iaitu kalau mahu wang lebih, kita juga perlu sanggup berusaha lebih.
Mudah sahaja sebenarnya.
Jangan berharap poket bertambah tebal kalau usaha masih di tahap yang sama.
Jangan mengharapkan pendapatan meningkat jika kita hanya menunggu gaji masuk setiap hujung bulan.
Satu perumpanaan yang cukup mudah tetapi dalam maknanya, rezeki tidak datang bergolek.
Dulu, ketika baru bekerja sebagai wartawan kadet, saya tidak pernah membayangkan betapa banyaknya tenaga, masa dan kesabaran yang diperlukan untuk membina kehidupan. Gaji ketika itu tidaklah besar.
Cuma RM650 dan kerana masih muda, kita tidak terlalu banyak berfikir tentang wang.
Yang penting ada kerja, ada gaji dan boleh tidur malam dengan selesa.
Lama-kelamaan kita belajar keperluan hidup akan berubah.
Harga barang meningkat. Anakanak membesar.
Ada yuran pengajian, kereta, rumah, bil, ibu bapa, kecemasan dan macammacam lagi.
Ketika itu barulah kita sedar, gaji tetap sahaja kadangkadang tidak mencukupi.
Bukan bermaksud kita perlu mengejar wang sepanjang masa.
Tetapi kalau mahu mempunyai lebihan, kita perlu mempunyai usaha tambahan. Ada orang mengambil kerja sambilan.
Ada yang berniaga kecil-kecilan.
Ada yang menulis selepas waktu pejabat.
Ada yang mengambil upah membuat kek, menjahit, mengajar, menjual makanan, membuat kandungan digital atau melakukan pekerjaan berdasarkan kemahiran yang mereka ada.
Yang penting, jangan malu bermula kecil.
Saya selalu percaya sesuatu yang kecil, jika dilakukan dengan tekun, boleh menjadi besar.
Duit sebanyak RM20 mungkin nampak kecil atau RM50 juga mungkin tidak banyak.
Tetapi jika dilakukan secara konsisten, sedikit demi sedikit ia menjadi tambahan kepada pendapatan bulanan.
Masalahnya, ramai mahu wang lebih tetapi tidak mahu usaha lebih.
Mahu pendapatan tambahan, tetapi tidak mahu keluar dari zon selesa.
Diberi kerja lebih, ada alasan demi alasan sehingga kerja mudah menjadi payah.
Jika mahu hidup lebih baik tetapi masih menunggu peluang datang mengetuk pintu.
Sedangkan peluang kadangkadang tidak datang dalam bentuk yang kita bayangkan.
Ia mungkin datang sebagai seseorang yang meminta kita melakukan kerja kecil.
Ia mungkin datang melalui kenalan yang menawarkan peluang berniaga.
Ia mungkin datang daripada kemahiran yang selama ini kita anggap biasa.
Jangan pandang rendah kepada kemahiran sendiri.
Apaapa yang kita anggap mudah mungkin sebenarnya bernilai kepada orang lain.
Pandai menulis, mungkin ada orang sanggup membayar.
Pandai memasak, mungkin boleh menjual makanan.
Pandai mengajar, mungkin boleh mengambil pelajar.
Pandai mengurus media sosial, mungkin ada perniagaan kecil yang memerlukan bantuan.
Kita cuma perlu rajin mencari ruang. Ingat satu lagi mutiara usaha tangga kejayaan.
Ayat ini mungkin kedengaran terlalu biasa kerana kita sudah mendengarnya sejak kecil.
Tetapi semakin dewasa, semakin kita sedar betapa benarnya kata-kata itu.
Tidak semua orang yang rajin akan terus menjadi kaya.
Tidak semua usaha pula terus membuahkan hasil.
Tetapi tanpa usaha, peluang untuk mengubah keadaan menjadi jauh lebih kecil.
Kadang-kadang usaha itu bukan semata-mata bekerja lebih lama.
Usaha juga bermaksud belajar sesuatu yang baharu, meningkatkan kemahiran, membina hubungan, berani mencuba dan berani menerima kerja yang pada awalnya kelihatan kecil.
Paling penting, jangan mudah berputus asa apabila percubaan pertama tidak menjadi.
Saya juga belajar mencari wang tambahan bukan bermaksud kita perlu mengorbankan seluruh hidup untuk bekerja.
Kita tetap perlu ada tanggungjawab terhadap kerja hakiki, ada masa untuk keluarga, berehat dan menjaga diri.
Tetapi jika selepas waktu bekerja kita mempunyai masa yang boleh dimanfaatkan, mengapa tidak digunakan untuk sesuatu yang boleh menambah pendapatan?
Daripada dua jam berlalu begitu sahaja, mungkin satu jam boleh digunakan untuk melakukan sesuatu yang menghasilkan pendapatan.
Nampak kecil tetapi percayalah ia akan bertukar nilai lebih besar kemudian hari.
Contohnya RM50 sehari selama 20 hari sudah menjadi RM1,000.
dan berusaha mencipta ruang untuk mendapatkan wang.
Namun ada satu perkara yang lebih penting – jangan sampai kerana terlalu mengejar wang, kita kehilangan ketenangan.
Wang tambahan sepatutnya membantu kehidupan, bukan menjadikan kita hamba kepada kerja.
Sebab itu, pada usia sekarang, saya melihat wang bukan lagi semata-mata tentang mahu memiliki lebih banyak.
Wang memberi kita pilihan.
Ia memberi sedikit ruang apabila berlaku kecemasan.
Ia membantu kita membantu anakanak.
Ia memberi ketenangan apabila ada keperluan yang tidak dijangka.
Sebab itu, kalau masih sihat, masih mempunyai tenaga dan masih mempunyai kemahiran, jangan takut untuk bekerja lebih sedikit.
Tidak perlu malu bermula dari bawah.
Tidak perlu malu mengambil peluang kecil.
Tidak perlu menunggu semuanya sempurna.
Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.
Mungkin hari ini kita hanya memperoleh RM20 daripada usaha sampingan.
Esok RM50.
Bulan depan mungkin RM500.
Yang penting kita bermula.
Kerana pada akhirnya, rezeki memang milik Allah tetapi usaha adalah tanggungjawab kita. Kalau mahu wang lebih, rajinlah mencari lebih.
Kalau mahu kehidupan lebih selesa, usahakan lebih.
Dan kalau mahu masa depan yang lebih baik, jangan hanya berharap keadaan berubah. Kita juga perlu berubah.
Kerana rezeki mungkin sudah tersedia di hadapan kita, tetapi kadang-kadang ia hanya menunggu kita cukup rajin untuk mencarinya.
Mungkin itulah hakikat kehidupan yang paling mudah untuk kita fahami yang rezeki bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita mahu tetapi sejauh mana kita sanggup berusaha untuk mendapatkannya.
Selagi ada kudrat, kemahiran dan kemahuan, jangan terlalu banyak mengeluh tentang kekurangan.
Sebaliknya, carilah ruang, manfaatkan peluang dan teruskan usaha.
Kerana kadangkadang, apa-apa yang kita cari sebenarnya sudah ada di depan mata, cuma kita belum cukup rajin untuk mencapainya.



