Kerja luar negara: Mengapa anak  Sarawak mudah tertipu?

Kini, bukan sahaja penipuan Macau Scam yang menggejala, tetapi juga penipuan oleh sindiket pekerjaan palsu di luar negara.

Rakyat Sarawak kerugian berjuta-juta ringgi setahun susulan penipuan Macau Scam.

Meskipun banyak kes didedahkan melalui media, kejadian itu masih tiada kesudahannya.

Di manakah silapnya? Apakah yang menjadi punca penipuan sedemikian sehingga menyebabkan mangsa menderita?

Pasti kita tidak mahu banyak lagi anak Sarawak menjadi mangsa. Ini masa untuk bertindak.

Sedarilah, bahawa tidak ada yang mudah dalam hidup ini. Kejayaan dan kekayaan perlu diusahakan dengan keringat, bukan dengan nasib dan jalan singkat.

Mangsa Macau Scam kehilangan wang simpanan yang bukan sedikit, tetapi turut terdera dari segi mental dan emosi.

Belum reda lagi kes membabitkan 40 orang rakyat Sarawak yang diperdaya di Kemboja, satu lagi kes baharu muncul.

Ini sesuatu yang mengejutkan, bagaimana anak Sarawak mudah terpedaya oleh janji manis dapatkan pekerjaan dengan gaji lima angka di luar negara.

Semalam lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Liberia selepas ditipu satu sindiket pekerjaan diselamatkan dan kembali pulang ke tanah air  melalui usaha diplomatik Wisma Putra.

Ini kejadian kedua tahun ini membabitkan rakyat Malaysia yang mencari kerja di luar negara, selepas 47 warganegara ini dibebaskan dari sebuah penjara Kemboja.

Lapan orang anak  Sarawak itu ditipu satu sindiket pekerjaan tempatan.

Bagi membebaskan mereka bantuan turut diperoleh daripada Menteri Luar Liberia, Gbehzohgar M Findley dengan Malaysia menghantar  dua utusan khas ke Monrovia pada 26 Februari lalu.

Mengapakah kejadian sebegini berlaku?  Adakah kerana kejahilan, kekurangan pekerjaan di negeri ini atau ketamakan mangsa?

Justeru, pihak berkuasa perlu menyiasat aktiviti sindiket pekerjaan yang memperdayakan orang tempatan ke negara lain dengan menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan.

Kita tidak boleh membiarkan kejadian sebegini terus berlaku. Jika berlaku, ia bukan sahaja menyusahkan individu dan keluarga mereka yang terbabit, tetapi juga kerajaan.

Nasib baik, kerajaan negara terbabit bersedia untuk membebaskan mereka. Bagaimanakah nasib mereka jika mereka  terus ditahan di dalam penjara di laur negara?

Anak-anak Sarawak tidak harus mudah tersilau mata mereka dengan janji  manis oleh individu tertentu. Sikap berhati-hati amat perlu setiap ketika. Semak dahulu kesahihan peluang pekerjaan yang ditawarkan itu. Jangan sampai nasi menjadi bubur.

Anak Sarawak juga harus lebih berhati-hati dengan segala iklan kosong melalui media sosial. Seyogia diingat, sindiket berkenaan menggunakan pelbagai kaedah pemujukan melalui Wechat, Facebook dan sebagainya.

Modus operandi mereka licik, dan kita perlu mampu mengesan kelicikan mereka.

Jika gaji yang dijanjikan terlalu tinggi dan terlalu lumayan, sehingga tidak masuk akal, tidak usahlah mudah termakan oleh janji berkenaan.

Hakikatnya, tawaran yang diberi itu hanya umpan sindiket penipuan dan penggubahan wang haram bagi mengaut keuntungan.

Gambar fail

Sama dengan janji penipu Macau Scam, yang menggunakan pelbagai helah, pencari pekerjaan di negeri ini, termasuk mereka di luar bandar, perlu menyemak dan memeriksanya dengan teliti.

Tanya pihak berkuasa, betul atau tidak tawaran tersebut. Jangan mudah terpesona, dengan terus terbang ke luar negara.

Akhirnya, mereka terjerat dan menanggung derita, termasuk disumbat di dalam penjara di luar negara.

Dalam kes Liberia, mangsa dilaporkan terpaksa meratah daun betik dan bergantung kepada ihsan rakyat Malaysia lain untuk hidup.

Kisah sedih sebegini tidak seharusnya dibiarkan. Langkah segera perlu diambil.

Pertama, dengan menyebarkan maklumat melalui pelbagai media, termasuk media sosial,  memberitahu betapa wujudnya sindiket berniat jahat untuk memerangkap mangsa.

Rakyat perlu dididik supaya sentiasa berhati-hati terhadap aktiviti sedemikian. Usaha untuk menimbulkan kesedaran amat penting dilakukan.

Kedua,  ibu bapa perlu tahu pergerakan  dan tindakan anak-anak mereka. Jika mereka memberitahu hendak ke luar negara untuk bekerja, tanya mereka betul-betul

Kertiga, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan rakyat perlu diberikan perlindungan lebih baik.

Mereka yang menjadi  mangsa penipuan pekerjaan di Libera, sama seperti mangsa di Kemboja,  perlu membuat laporan polis.

Tindakan ini, kata Ketua Siasatan Jenayah Momersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mengesan dalang di sebalik kes terbabit.

“Saya minta kelapan-lapan mereka memberi keterangan dan membuat laporan agar kita dapat menjalankan siasatan,” kata Mustafa pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching kelmarin.

Mangsa berusia antara 39 hingga 66 tahun, dan dijanjikan pendapatan sehingga RM10,000 dalam industri pembalakan.

Rakyat  miskin dan kurang berpendidikan, serta ghairah untuk bekerja di luar negara, dengan pendapatan tinggi dipercayai diperdaya taktik licik.

Kes  duka begini tentu  akan ada lagi selagi ada sindiket yang licik dan individu yang tamak.

Yang penting sekarang, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan lebih ramai lagi terjebak dalam penipuan pekerjaan di luar negara. Jangan sampai sudah terantuk barulah hendak tengadah.