KUCHING: Kerja-kerja pembaikan sementara paip utama pam Mild Steel Cement Lined (MSCL) berdiameter 1050mm di Jalan Haji Baki, Batu Kitang berjaya disiapkan pagi tadi.
Sarawak Water Sdn. Bhd. menerusi satu kenyataan, berkata kerja-kerja kimpalan yang merupakan sebahagian daripada pembaikan sementara tersebut diselesaikan kira-kira 7.30 pagi.
“Susulan siapnya kerja-kerja ini, sistem bekalan air sedang dipulihkan secara berperingkat,” katanya.
Sarawak Water menambah, dalam tempoh pemulihan itu, keadaan air keruh mungkin dialami di sesetengah kawasan.
Menjelas lanjut, ia berkata keadaan itu bersifat sementara dan disebabkan gangguan sedimen di dalam paip susulan kerja pembaikan.
“Sarawak Water akan terus melaksanakan operasi pembilasan secara sistematik dan berperingkat di lokasi-lokasi yang ditetapkan bagi menyingkirkan sisa sedimen, memperbaiki kejernihan air serta menstabilkan kualiti air secara keseluruhan.
“Para pengguna dinasihatkan untuk membiarkan air mengalir seketika sekiranya berlaku perubahan warna,” katanya.
Dalam pada itu, katanya perkhidmatan lori tangki air akan kekal bersedia dan digerakkan mengikut keperluan ke kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air dalam sepanjang tempoh pemulihan sistem.


