KUCHING: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki OKU pembelajaran berusia 12 tahun.
Tertuduh berusia 45 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zuraidah Zakaria.
Sebutan semula kes tertuduh dilakukan hari ini selepas pihak pendakwaan memaklumkan keputusan pemeriksaan psikiatrik melaporkan dia layak untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa di sebuah rumah di Jalan Kuching-Serian, sekitar jam 8.00 pagi, 2 Mac lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani rawatan kaunseling dan di bawah pengawasan pihak polis selama satu tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis terhadap tertuduh pada hari kejadian selepas cuba melakukan kesalahan seksual dengan memeluk mangsa dalam keadaan separuh bogel.
Tertuduh berjaya ditangkap oleh sepasukan polis pada hari yang sama sekitar jam 9.50 malam.
Semasa kejadian, tertuduh merupakan kenalan bapa mangsa datang ke rumah lalu cuba meliwat mangsa dalam sebuah bilik dengan membuka seluar mangsa serta cuba memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa.
Saksi merupakan anak perempuan pengadu terdengar jeritan mangsa lalu pergi memeriksa keadaan adiknya dan melihat tertuduh dalam keadaan separuh bogel sedang melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Terkejut dengan kehadiran kakak mangsa, tertuduh lalu melarikan diri namun aksi tertuduh berjaya dirakam gambar oleh kakak dan adik bongsu mangsa menggunakan telefon pintar.
Selain itu, perbuatan terkutuk itu merupakan kali kedua dilakukan oleh tertuduh terhadap mangsa.
Mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan doktor mengesahkan bahawa tiada tanda kecederaan pada alat kemaluan luar mangsa.
Kawad cam juga dilakukan dan keputusan adalah positif tertuduh yang melakukan perbuatan terkutuk terbabit.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



