ARTIKEL

Ketegasan PM Pertahan Dasar Utama Lambang Maruah Negara – Pakar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan dasar utama, termasuk hak bumiputera dan sektor strategik negara dalam rundingan tarif bersama Amerika Syarikat (AS) disifatkan langkah tepat dalam memelihara maruah serta kepentingan jangka panjang negara.

Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia dan Felow Akademi Profesor Malaysia (FAPM) Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong berkata pendirian tegas itu penting untuk memastikan asas dan landasan negara tidak dikompromikan dalam rundingan antarabangsa.

“Kalau kita berkompromi mana maruah kita? Ini perkara pokok. Dasar utama ialah strategi jangka panjang yang mesti dipertahankan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia wajar mengekalkan pendirian tidak berkompromi terhadap dasar-dasar utama meskipun negara terikat dengan sistem perdagangan bebas global, demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Bagaimanapun, Abdul Rahman menegaskan bahawa pendekatan rundingan tetap perlu ditangani dengan kebijaksanaan diplomasi.

“Diplomasi ibarat air sungai yang mengalir ia tidak melanggar batu besar secara keras, tetapi mengelilinginya dan cuba menembusinya. Malaysia mungkin negara kecil, tetapi kita ada kelebihan seperti kepintaran Sang Kancil yang mampu memujuk Sang Buaya,” katanya.

Beliau percaya bahawa pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mempunyai pendekatan bijak dan hujah yang kukuh dalam berunding dengan AS, termasuk formula yang boleh membawa kepada situasi menang-menang dalam isu tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas produk Malaysia.

Hari ini, Perdana Menteri menegaskan tiada dasar utama negara termasuk hak Bumiputera, keperluan vendor tempatan atau perlindungan sektor strategik akan dikompromi dalam mana-mana rundingan.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung tarif Amerika Syarikat (AS) hari ini. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan AS bersetuju untuk berunding dengan lebih lanjut dengan Malaysia dan terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan. 

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Nazariah Osman berpandangan jika Malaysia terus mempertahankan dasar perlindungan tertentu dalam rundingan antarabangsa, negara ini akan lebih dihormati dari sudut perundangan.

“Pelabur asing akan melihat Malaysia sebagai negara yang kukuh pendirian dan menghormati undang-undang tertinggi negara. Ini memberi keyakinan bahawa sebarang keputusan dasar adalah konsisten dan tidak dibuat secara tergesa-gesa demi tekanan luar,” katanya.

Nazariah berkata setiap negara mempunyai hak untuk menetapkan garis panduan berdasarkan realiti sosioekonomi sendiri, dan bukan sekadar tunduk kepada prinsip liberalisasi global yang sering bersifat satu hala.

“Diplomasi bukan hanya soal membuka pasaran, tetapi juga melindungi keunikan serta keperluan domestik. Malaysia sebagai negara membangun mempunyai obligasi untuk menjaga keseimbangan antara keterbukaan dan perlindungan dasar utama,” katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan