KUCHING: The Last Ring Ladies akan memaparkan kisah mengenai subetnik Bi’emban di Sarawak yang perlahan-lahan hilang ditelan zaman.
Kisah unik wanita daripada etnik tersebut bakal ditayangkan di TVS pada 7 November ini pada jam 9 malam.
Pengarah The Last Ring Ladies Nova Goh berkata, kali pertama beliau mengetahui tentang wanita cincin ialah pada 2014 ketika mendaki Gunung Semban.
“Pada masa itu, saya malu dengan kejahilan saya kerana tidak pernah mengetahui tentang kewujudan mereka.
Kemudian saya difahamkan hanya ada tujuh wanita sahaja yang tinggal.

“Bagi saya, Ring Ladies seperti spesies bunga luar biasa yang ada di dunia ghaib.
Saya benar-benar dapat memahami hati mereka dan yakin wanita ini ingin mekar lagi sebelum akhir hayat… ya seperti bunga,” katanya.
Nova menaruh harapan tinggi supaya keunikan wanita ini diterjemahkan dalam bentuk yang orang luar boleh lihat, tonton dan memahami keistimewaan mereka.
“Waktu saya tidak ada kamera atau kelengkapan untuk mendokumentasikannya supaya menjadi naskhah yang boleh dikongsi kepada umum.
“Peluang itu datang ketika pereka fesyen terkenal Leng Legenda dari Semenanjung Malaysia menemui keindahan Ring Ladies.
Mereka memutuskan untuk bekerjasama dengan jurukamera terkenal Sarawak Kevin Then dan seterusnya melakukan penggambaran fesyen di Semban.
“Ia juga sebagai cara untuk melestarikan dan mencipta kembali fesyen tradisional mereka dan membawa ke tahap baharu,” ujarnya.
Untuk rekod, Ring Ladies terakhir Peluk Apeh berpindah ke penempatan lebih moden dan meninggalkan rumah nenek moyang di hutan.
Peluk berjuang untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya namun dipercayai masih merindui dunia lamanya.
Tetapi kehidupan lebih moden wanita ini memberi peluang baharu menerusi kerjasama Leng mencipta Koleksi Ring Ladies.
Mereka bersama-sama memulakan perjalanan yang menakjubkan dengan penemuan peribadi serta misi untuk melestarikan warisan Ring Ladies.
Malah pasukan Leng turut memperkenal budaya unik Ring Ladies melalui fesyen kepada dunia moden.
Sebagai rekod, tayangan perdana The Last Ring Ladies juga pernah menembusi dunia luar dan pernah ditayangkan di Jepun, Korea dan Taiwan.


