KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Aghniny Haque memilih untuk membintangi filem seram psikologi Khadam kerana tertarik dengan tema pengorbanan seorang ibu yang menjadi tunjang utama jalan ceritanya.
Penampilan sulung Aghniny dalam filem Malaysia menerusi watak Melor turut dipengaruhi pengalaman peribadi apabila beliau dibesarkan oleh ibu tunggal.
Faktor itu menjadikan naskhah berkenaan lebih dekat dengan dirinya dan mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.
Menurut Bernama, dalam filem berlatarbelakangkan era 1950-an itu, Aghniny membawakan watak seorang ibu bisu yang berusaha mempertahankan keluarganya daripada ancaman saka warisan turun-temurun.
Watak tersebut turut memberi cabaran baharu kerana memerlukan penyampaian emosi tanpa dialog.
Bagi menjayakan peranan itu, beliau menjalani persiapan selama sebulan termasuk mempelajari bahasa isyarat khas yang dibangunkan untuk filem berkenaan serta mengikuti latihan lakonan dan pembacaan skrip bersama pasukan produksi.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, Khadam turut menampilkan Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl El dan Jun Lojong.
Filem itu mengangkat kepercayaan masyarakat Melayu mengenai saka melalui gabungan elemen seram, konflik keluarga dan emosi yang mendalam.





