Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming, mencuri perhatian apabila mengumumkan pengenalan produk keempatnya, Sambal Nyet Bilis, menerusi akaun media sosialnya baru-baru ini.
Produk terbaharu itu dilancarkan secara rasmi menerusi siaran langsung dari puncak Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Khairul, pelancaran berkenaan bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah menjadi simbol perjalanan perniagaannya sejak enam tahun lalu selepas melancarkan produk pertamanya, Sambal Nyet Berapi.

“Selepas enam tahun berniaga dengan hanya satu jenis sambal, akhirnya kami bersedia untuk mengeluarkan sambal versi baharu dengan rasa berbeza serta menggunakan lebih banyak bahan,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Bagi memastikan keaslian dan kualiti produk berkenaan, Khairul turut turun ke Terengganu untuk melihat sendiri proses nelayan menangkap ikan bilis di laut.
Beliau juga mengunjungi kebun cili di Banting, Selangor, bagi mempelajari jenis cili serta kaedah penghasilannya sebelum digunakan dalam produk tersebut.
“Resipi ini menggunakan 75 peratus cili hijau dan 25 peratus cili merah, selain tomato, daun limau purut serta belacan bagi menghasilkan rasa yang berbeza daripada sambal pertama,” katanya.
Lebih menarik, lima pembeli terpantas produk berkenaan berpeluang menyertai percutian bersama-sama beliau ke Dolomites, Itali.
Menurutnya, produk tersebut dihasilkan di kilangnya yang terletak di Kota Bharu, Kelantan, dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 12,000 botol sehari.
Khairul berkata, pemilihan lokasi pelancaran di Menara Merdeka 118 bertepatan dengan konsep kemerdekaan yang diketengahkan bagi mengenang dan menghargai jasa pejuang tanah air.
Beliau turut terlibat secara langsung dalam persiapan majlis itu, termasuk membentangkan beberapa idea kepada pihak pengurusan bagi memastikan pelancarannya berjalan lancar.
Pada masa sama, penghasilan produk terbaharu itu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang terlibat dalam proses pengeluaran.
Khairul turut berharap masyarakat terus memberikan sokongan dan kepercayaan terhadap produk keluaran tempatan.
Sebelum ini, Sambal Nyet Berapi mencatatkan jualan luar biasa serta menjadi fenomena dalam pasaran berikutan rasa dan kualitinya yang konsisten.
Selain sambal, beliau turut memperkenalkan beberapa produk makanan lain yang menerima sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat, antaranya Dendeng Nyet Berapi dan Rendang Nyet Berapi.



