DATUK Posa Majais masih diperlukan untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Demikian pengakuan pemerhati bola sepak Sarawak yang merahsiakan identitinya.

“Posa kelihatan begitu komited sepanjang berada di kerusi panas FAS. Jadi tiada sebab untuk kita mencari pengganti. Mungkin nasib dan tuah belum memihak kepadanya,” jelas pemerhati tersebut.

Dia mengulas mengenai kesediaan Posa untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Dalam laporan akhbar tempatan semalam Posa dipetik sebagai berkata: “Saya sedia berundur… tetapi biarlah pengganti saya orang yang benar-benar layak dan berkemampuan.”

Yang pasti, Posa dilihat masih lagi berminat untuk menerajui FAS. Lagi pula dia mempunyai sumber kewangan yang baik dan diiktiraf oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Skuad Sarawak sekarang ini sedang bergelut di tangga terbawah Liga Premier. Mereka dijangka akan menghadapi aksi play off menentang juara Liga M3 bagi menentukan slot Liga Premier 2020.

Posa mula menerajui FAS pada 2016 menggantikan Datuk Sudarsono Osman.

Suara Sarawak