ARTIKEL

GEMBIRA… Abdul Somad bersama ibu bapanya berkongsi detik manis pada majlis graduasi tersebut.

Kisah Luar Biasa Di Sebalik Anugerah Graduan UiTM Terbaik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Bergelar graduan sudah cukup membanggakan, namun Abdul Somad Mustapha Kamal melangkah lebih jauh apabila dinobatkan sebagai penerima dua anugerah utama sempena Istiadat Konvokesyen Ke-103 Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Graduan Sarjana Muda Sains Kimia dengan Pengurusan itu, yang juga anak kepada Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, mencuri tumpuan apabila menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan (Sarjana Muda) serta Anugerah Graduan Terbaik Khas MITSA.

SYAHMIE ADRIE, ketika ditemui pemberita, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diraihnya hari ini.

Kejayaan tersebut tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada usaha berterusan, disiplin tinggi serta doa yang tidak pernah putus daripada diri sendiri dan ibu bapa.

Beliau mengakui kejayaan yang diraih merupakan hasil jerih payah sepanjang pengajian serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, selain doa ibu bapa yang menjadi kekuatan utama dalam perjalanannya sebagai pelajar.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas anugerah ini. Ia menjadi penanda aras kepada segala usaha dan pengorbanan sepanjang pengajian. Terima kasih kepada ibu bapa atas sokongan dan doa yang tidak pernah putus. Saya sangat percaya doa ibu bapa itu mustajab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Ke-103 UiTM di sini, hari ini.

Menurutnya, kejayaan tersebut turut didorong oleh prinsip hidup yang menekankan usaha bersungguh-sungguh dan pengurusan diri yang efisien.

“Bagi saya, semua orang boleh berjaya, bergantung kepada bagaimana kita menguruskan diri. Orang selalu kata kita perlu bekerja dengan bijak, tetapi bagi saya ia adalah bekerja keras dengan cara yang bijak,” jelasnya.

Abdul Somad turut menekankan kepentingan keseimbangan antara akademik dan kehidupan seharian, selain mengelakkan sikap menangguh tugasan yang boleh menjejaskan kualiti kerja.

“Kita tidak boleh belajar semata-mata. Perlu ada keseimbangan. Apabila kita bersedia lebih awal, kita akan kurang stres dan lebih yakin berbanding belajar pada saat akhir,” katanya.

Selain kecemerlangan akademik, beliau menyifatkan pengalaman sepanjang pengajian sebagai antara kenangan paling bermakna, termasuk peluang menimba ilmu di luar negara iaitu China serta mengikuti pengajian dalam kumpulan kecil.

“Program kami hanya mempunyai sembilan pelajar, jadi saya perlu menyesuaikan diri daripada suasana diploma yang lebih besar kepada interaksi dalam kumpulan kecil.

“Namun, ia memberi peluang untuk mengenali pensyarah dengan lebih dekat dan memperkayakan pengalaman pembelajaran,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD) pada masa hadapan, selari dengan hasrat bapanya yang ingin melihat beliau mencapai tahap akademik tertinggi.

“Buat masa ini, saya ingin menimba pengalaman dan menambah ilmu melalui kerjaya. Namun jika diberi rezeki, saya berhasrat untuk menyambung pengajian pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, graduan Diploma Pentadbiran Awam, Syahmie Adrie Superi, turut mencuri perhatian apabila menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan (Diploma) dan Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan.

Syahmie, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam semester empat berkata, kejayaan hari ini adalah hasil disiplin, pengurusan masa yang bijak dan sokongan orang sekeliling.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana akhirnya sampai ke hari ini, penamat bagi pengajian diploma saya. Mendapat anugerah ini adalah satu penghargaan yang sangat bermakna,” katanya.

Di samping itu, beliau berkongsi dua prinsip yang menjadi panduan sepanjang pengajian, iaitu kejayaan bukan penamat dan kegagalan bukan pengakhiran yang membawa maut.

CERIA… Syahmie dan Abdul Somad merakam gambar swafoto bersama rakan-rakan graduan yang lain.

“Setiap perkara ada masa dan tempatnya,” tegasnya.

Prinsip tersebut mengingatkan beliau bahawa walaupun menghadapi kegagalan, keyakinan bahawa kejayaan akan datang perlu sentiasa dipelihara.

Selain itu, Syahmie menekankan kepentingan mengimbangi masa antara pelajaran dan kehidupan peribadi.

Beliau percaya apabila tiba masa untuk menyiapkan tugasan, komitmen sepenuhnya diperlukan, manakala masa berehat perlu dinikmati sepenuhnya.

Bercakap mengenai penyokong terbesar, Syahmie menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa sebagai tonggak utama serta rakan-rakan yang menjadi tulang belakang sepanjang pengajian diploma dan kini di peringkat ijazah.

Kehidupan diploma Syahmie sangat padat dengan penglibatan aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), program fakulti dan kelab yang menuntut pengurusan masa yang bijak.

“Cabaran terbesar saya ialah menguruskan masa. Kadangkala saya perlu menghadiri kelas dari jam 8 hingga 10 pagi, kemudian menyertai mesyuarat sebelum kelas seterusnya pada jam 2 petang. Ia menuntut disiplin dan keutamaan yang tinggi,” katanya.

Bagi Syahmie, kejayaan yang dicapai hari ini hanyalah titik permulaan. Beliau berharap dapat terus melangkah lebih jauh dalam kerjaya sambil berbakti kepada masyarakat, ibu bapa dan semua pihak yang pernah menyokong perjalanan hidupnya.

“Anugerah ini hanyalah permulaan. Saya mahu terus berjaya dan berbakti kepada ibu bapa, masyarakat dan semua yang pernah membantu saya,” katanya.

Istiadat Konvokesyen Ke-103 UiTM Cawangan Sarawak itu disempurnakan oleh Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Ia bukan sahaja menyaksikan pengurniaan ijazah dan diploma, malah menjadi pentas meraikan kisah perjuangan, pengorbanan dan harapan graduan yang bersedia melangkah ke fasa seterusnya dengan penuh keyakinan.

KENANGAN… Abdul Wahab merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat serta penerima anugerah utama sempena Istiadat Konvokesyen Ke-103 Universiti Teknologi MARA (UiTM).

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

KPM utamakan kebajikan murid, guru

KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengutamakan kebajikan murid dan guru, penyelenggaraan sekolah serta pembinaan kemudahan pendidikan baharu menerusi peruntukan hampir RM69 bilion dalam Belanjawan 2027.

BERITA TERBARU