SAYA menganggap Simanggang sebagai “stesen” kedua bertugas selepas Betong.
Pun begitu, saya amat menyukai Pekan Merpati Putih itu, sebagai bandar bersejarah di Sarawak yang kaya dengan warisan budaya, sejarah dan pembangunan.
Bandar yang terletak di tebing Batang Lupar ini menjadi pusat pentadbiran Bahagian Sri Aman.
Bahkan memainkan peranan penting sebagai pintu masuk ke kawasan pedalaman sejak sekian lama.
Pada 1973, nama Simanggang ditukar kepada Sri Aman sempena Deklarasi Sri Aman, yang menandakan berakhirnya konflik bersenjata dan era konfrontasi di Sarawak.
Kemudian, pada 2019, kerajaan memutuskan untuk mengembalikan nama bandar itu kepada Simanggang bagi menghargai nilai sejarahnya, manakala nama bahagian pentadbiran kekal sebagai Sri Aman.
Pada suatu ketika dahulu, Simanggang hanyalah sebuah pekan kecil yang berkembang hasil aktiviti perdagangan.
Lada hitam, getah, sagu, padi serta hasil hutan menjadi komoditi utama yang menggerakkan ekonomi tempatan.
Pengangkutan sungai merupakan nadi kehidupan masyarakat ketika itu.
Batang Lupar menjadi laluan utama yang menghubungkan kampung-kampung, rumah panjang dan kawasan pedalaman dengan bandar.
Bot ekspres, perahu panjang dan kapal dagang menjadi pemandangan biasa di sungai tersebut.
Kehidupan masyarakat pula cukup sederhana. Ramai penduduk mencari rezeki sebagai petani, nelayan, pekebun dan peniaga kecil, manakala bangunan kebanyakannya diperbuat daripada kayu dengan seni bina yang mencerminkan identiti tempatan.
Simanggang turut mencatat sejarah penting ketika pemerintahan Brooke apabila dijadikan pusat pentadbiran di kawasan Batang Lupar.
Antara mercu tanda yang masih gah berdiri sehingga kini ialah Kubu Alice yang dibina pada 1864.
Kubu tersebut pernah berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pertahanan dan keselamatan sebelum dipulihara sebagai muzium yang memelihara sejarah bandar ini.
Dari atas bukit kubu itu, pengunjung dapat menikmati panorama indah Batang Lupar dan keseluruhan bandar Simanggang.
Kini, wajah Simanggang semakin berbeza berbanding dahulu.
Pelbagai kemudahan moden seperti jalan raya yang lebih baik, sekolah, hospital, hotel, pusat perniagaan serta kawasan rekreasi telah dibangunkan.
Ekonomi bandar pula terus berkembang melalui sektor perdagangan, perkhidmatan, pelancongan, pertanian moden dan perusahaan kecil serta sederhana.
Kemudahan telekomunikasi dan teknologi digital turut memudahkan urusan harian masyarakat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda dalam bidang keusahawanan dan ekonomi digital.
Menariknya, di sebalik arus pemodenan, Simanggang masih mengekalkan identitinya sebagai bandar warisan.
Kubu Alice, Tebingan Batang Lupar, rumah-rumah kedai lama serta fenomena benak Batang Lupar yang terkenal di peringkat antarabangsa terus menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Cuma tahun ini, Pesta Benak yang menjadi program ikonik bandar ini, tidak dapat diadakan. Insya-Allah tahun hadapan pesta tersebut akan kembali dengan pengisian yang lebih meriah dan mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Satu lagi perkembangan yang cukup signifikan ialah berlangsungnya Upacara Penyambungan Bahagian Akhir Jambatan Batang Lupar 2 pada Khamis lalu yang disempurnakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Majlis tersebut menandakan pembinaan jambatan kabel (cable-stayed bridge) tertinggi di Malaysia dengan ketinggian kirakira 145.5 meter itu memasuki fasa terakhir.
Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, jambatan berkenaan dijangka mula dibuka kepada pengguna menjelang penghujung Ogos depan.
Kewujudan Jambatan Batang Lupar 2 bukan sekadar memendekkan masa perjalanan, malah bakal mengubah landskap pembangunan Simanggang secara menyeluruh.
Selama ini, laluan utama ke bandar tersebut banyak bergantung kepada Lebuh Raya Pan Borneo.
Selepas jambatan itu siap kelak, jaringan jalan raya akan menjadi lebih menyeluruh dengan hubungan yang lebih baik dari Betong melalui Jalan Lidong serta dari Sebuyau menerusi Lingga.
Lebih penting lagi, projek ini akan melengkapkan rangkaian Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir Sarawak yang menghubungkan Kuching hingga ke Miri tanpa perlu lagi bergantung kepada perkhidmatan feri.
Perubahan ini bakal mempercepat pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di seluruh kawasan pesisir.
Saya percaya, limpahan pembangunan itu bukan hanya akan dinikmati oleh Simanggang, malah turut memberi manfaat kepada Lingga, Sebuyau, Betong, Pusa, Debak dan kawasan sekitarnya. Sektor pelancongan dijangka menerima impak yang besar.
Pelawat akan lebih mudah mengunjungi Kubu Alice, Tebingan Batang Lupar, rumahrumah panjang, kawasan agropelancongan serta menikmati fenomena benak yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan.
Selain itu, sektor perdagangan, perhotelan, makanan dan minuman serta perusahaan kecil dijangka berkembang seiring pertambahan jumlah pengunjung dan pelabur.
Dalam masa yang sama, pembangunan baharu perlu diseimbangkan dengan usaha memelihara identiti bandar.
Bangunan warisan, budaya masyarakat berbilang kaum serta keunikan sejarah Simanggang perlu terus dipertahankan agar kemajuan yang dicapai tidak menghakis nilai yang diwarisi sejak lebih satu abad lalu.
Bagi saya, Simanggang bukan sekadar sebuah bandar persinggahan.
Ia ialah sebuah bandar yang menyimpan kisah perjuangan, menjadi saksi perubahan zaman dan kini sedang melangkah ke era baharu sebagai antara pusat pertumbuhan penting di bahagian selatan Sarawak.
Daripada sebuah pekan kecil di tebing Batang Lupar, Simanggang kini sedang meniti perjalanan menjadi bandar moden yang tetap berakar pada sejarahnya.
Itulah keistimewaan Simanggang, maju tanpa melupakan asal usul, membangun tanpa mengorbankan warisan.






