Kisah tragis Jimmy dan Faridah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PADA 2013, seorang remaja yang baharu tiba dari kawasan Baram sedang berjalan-jalan di sekitar kawasan Kem Piasau di Miri.

Kawasan tersebut sebenarnya merupakan lokasi kediaman pekerja syarikat minyak dan gas, termasuk kalangan ekspatriat. Lokasi ini sangat menarik kerana terletak di pinggir laut.

Hutannya agak eksotik, dengan wujudnya pokok-pokok rhu yang lazimnya dijadikan pilihan untuk berbuat sarang oleh burung enggang.

Antara yang membina habitatnya di sini ialah spesies burung kelingking atau lilin, sejenis enggang yang berwarna hitam putih.

Yang paling dominan ialah seekor burung kelingking yang dikenali sebagai Jimmy.

Jimmy dikatakan berasal dari kawasan hutan Brunei Darussalam, sebelum membina koloni di kawasan tersebut sekitar tahun 2005. Pada tahun 2013 itu, keluarga Jimmy telah mula membesar.

Ia sentiasa dilihat berada di kawasan tersebut, bersama-sama pasangan yang disayanginya, yang diberi nama jolokan Faridah.

Berdasarkan tinjauan penyelidik ketika itu, terdapat 19 lagi burung daripada spesies yang sama ditemui di kawasan tersebut ketika ini, dan ia dipercayai daripada keluarga kedua-duanya.

Namun kajian mendapati, sejak 2005 sehingga 2013, pasangan ini telah menetaskan 56 ekor burung.

Berbalik pada September 2013, ketika melalui kawasan tersebut, remaja terbabit terlihat akan seekor burung kelingking, sedang bertenggek di dahanan yang rendah.

Beliau mengendap dan memerhati dengan cukup tajam.

Timbul niat di hatinya untuk menangkap sang burung tersebut, dengan hasrat menjadikannya haiwan peliharaan.

Di kawasan perkampungannya di pedalaman Baram, ia adalah perkara biasa.

Remaja terbabit kemudian mengambil lastik, yang dibekal bersama.

Dia mengutip batu, menenang sasaran sebelum melepaskan batu tersebut.

Panahan tersebut tepat mengenai mata burung terbabit, menyebabkan ia hilang imbangan dan jatuh ke bawah.

Baca lain  Tenang tunggu vaksin

Burung kelingking terbabit cedera.

Kejadian ini turut disaksikan beberapa lelaki lain dan mereka pada mulanya tidak mahu terlibat kerana menangkap burung enggang dan kenyalang merupakan satu jenayah alam sekitar.

Justeru melaporkan perkara tersebut akan mengundang masalah.

Kebetulan pada 2008, sekumpulan penyelidik dan pencinta alam telah bekerjasama rapat dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk memantau populasi enggang Oriental Pied ini.

Mereka amat mengenali Jimmy, Faridah dan keluarga mereka.

Malangnya, burung enggang yang cedera terbabit ialah Faridah, si ibu dan isteri yang amat disayangi.

Akibat kecederaan yang parah, Faridah menjadi semakin lemah sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian. Jimmy merupakan seorang suami yang setia.

Beliau menumpahkan sepenuh kasihnya kepada Faridah, dan sentiasa terbang bersama-sama dan mencari makan, jika Faridah terpaksa berkurung menjaga telur mereka.

Untuk rekod, spesies ini mengawan dengan pasangan yang sama seumur hidup mereka; atau hanya mencari lain selepas pasangannya mati.

Justeru itu tidak hairanlah kedua-duanya memiliki sehingga 56 anak dengan mengambil kira proses penetasan mengambil masa tiga bulan untuk setiap musim.

Cemas dengan apa yang berlaku kepada Faridah, sepasukan doktor haiwan cuba sedaya upaya menyelamatkan Faridah namun gagal.

Akhirnya bangkainya diserahkan kepada pihak Jabatan Muzium Sarawak untuk diawet. Jimmy nyata tidak sedar akan kematian pasangannya itu.

Pun begitu kehilangan Faridah menjadikannya cukup kecewa dan murung.

Tanpa pasangan, ia menjadi seorang yang perindu dan berkeliaran sendirian di sekitar kem tersebut.

Jimmy menjerit, memanggil Faridah setiap masa dan tanpa henti mencarinya, hingga menyebabkan bukan sahaja petugas SFC yang bertugas di kawasan tersebut, malah penduduk setempat bersedih.

Baca lain  Tenangnya di Tanah Suci

Mendengar akan kisah tradis tersebut, beberapa penduduk dan wakil Pertubuhan Alam Sekitar Malaysia (MNS) Cawangan Sarawak kemudian mengambil inisiatif untuk melancarkan petisen.

Mereka mahu kawasan tersebut diisytihar dan diwartakan sebagai kawasan Rizab Semulajadi, dan ia menjadi realiti dalam tempoh yang singkat, iaitu pada 31 Disember tahun yang sama.

Pada masa yang sama, bangkai Faridah yang telah diawet telah dikembalikan kepada SFC dan disimpan dengan selamat di Pos Renjer H58, Rizab Semulajadi Piasau.

Jimmy terus-terusan mencari dan memanggil Faridah dalam beberapa bulan pertama kematiannya.

Kesedihannya begitu terasa.

Setelah menyedari bangkai Faridah yang diawet berada di tepi tingkap Pos Renjer H58, Jimmy datang bertenggek di tepi tingkap tersebut untuk beberapa lama.

Malah ia mematuk tingkap dengan segunung harapan Faridah akan hidup semula dan kembali bermesra dengannya.

Menyedari Faridah tidak memberi reaksi yang diharapkan, Jimmy kemudian mencari cinta baharu.

Burung betina daripada spesies yang sama ini merupakan burung muda yang dikenali sebagai Juliet.

Hubungan kedua-duanya melegakan hati banyak pihak kerana risau, Jimmy akan terus murung dan berisiko mati kerinduan. Kini Jimmy hidup bahagia bersama Juliet.

Juliet malah telah berjaya menetaskan dua zuriat untuk Jimmy, yang kemudian dikenali sebagai Musa dan Cecilia.

Kedua-duanya menetas pada Mac 2015 dan sejak ini keluarga berempat ini sering kelihatan terbang bersama di sekiyar Rizab Semulajadi Piasau.

Menurut kakitangan SFC yang kini menyelia kawasan tersebut, Jimmy seorang yang pelindung dan akan memastikan keluarga kecil ini sentiasa dalam pemerhatiannya.

Baca lain  Ikan tilapia merah Batang Ai

Malah ia tidak teragak-agak untuk bertindak kasar jika menghidu bahaya yang bakal dihadapi keluarganya.

Penulis berkunjung ke pejabat Rizab Semulajadi Piasau pada pagi semalam, dan berasa amat bertuah kerana sempat melihat kelibat kedua-dua pasangan ini sebaik sahaja keluar dari bas persiaran.

Ia berada betul-betul di hadapan penulis dan rakan-rakan, sebelum kami sempat menghadiri taklimat mengenai kehidupan pasangan burung ini, dan keluarganya.

Kisah tragis Jimmy dan Faridah cukup menarik kerana ia menggambarkan cinta dan kesetiaan yang wujud pada sepasang burung enggang, yang sebenarnya terlindung dan semakin pupus di bumi Sarawak.

Biarpun tidak sehidup semati, namun hakikatnya, kesetiaan Jimmy menyebabkan polisi khas diwujudkan kerajaan, untuk menukarkan kawasan Kem Piasau yang merupakan kawasan kediaman sebagai Rizab Semulajadi bagi memastikan tragedi ini tidak berulang.

Juliet dijangka menetaskan anak dalam tempoh tiga bulan lagi.

Marilah sama-sama kita berdoa agar ia berjaya menetaskan anak yang comel dan hidup lama.

Juliet akan tinggal melindungi sarangnya di dalam lubang pokok Rhu berhampiran H58 manakala aktiviti mencari makan terbuhul sepenuhnya pada Jimmy.

Jika Jimmy tidak sihat atau terperangkap, maka bahaya akan menimpa keluarga kecil di dalam lubang ini.

Pun begitu, SFC telah mengambil langkah sepatutnya, termasuk memasang kamera litar tertutup di dalam lubang sarang itu, bagi memastikan kesihatan Juliet dan anak-anak dapat dipantau rapi.

Semoga kita mempelajari apa yang berlaku, dan memastikan alam semulajadi serta flora dan fauna kita akan sentiasa terpelihara.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Bijak hidu peluang

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang