ARTIKEL

Kitar semula, mulakan dengan amalan kecil

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SECARA purata, saban hari setiap rakyat Malaysia menghasilkan sekitar 1.17 kilogram sisa pepejal atau keseluruhan 36,699 tan.

Berdasarkan data 2022 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), majoriti sampah terbabit berakhir di tapak pelupusan, walhal ada antaranya yang boleh dikitar semula.

Keadaan ini bukan sahaja satu kerugian kerana bahan kitar semula tersebut ada nilainya, tetapi turut memberi tekanan kepada hayat tapak pelupusan, yang menurut SWCorp, hanya mampu bertahan sekitar 25 tahun. “

Benar, kami ada banyak tapak pelupusan, tetapi seiring pertambahan populasi penduduk, jumlah sisa pepejal juga meningkat.

Justeru, hayat tapak pelupusan ini juga boleh menjadi lebih singkat.

“Oleh itu, amat penting bagi kita mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke dalam tong sampah dan mengamalkan kitar semula setakat yang kita mampu,” kata Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib kepada Bernama.

Syarikat ini bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Perlis.

Sasaran 40 peratus pada 2025 Mengulas lanjut, Ummi Kalthum berkata amalan kitar semula mampu mengurangkan sekurangkurangnya lima peratus daripada jumlah keseluruhan sampah yang dibuang di tapak pelupusan selain menjimatkan kos pelupusan dan tempat longgokan. “

Setakat 2022, kadar kitar semula negara hanya 33.17 peratus,” katanya, menambah di bawah Rancangan Malaysia ke-12, negara menyasarkan 40 peratus menjelang 2025.

Walaupun angka itu menunjukkan ada peningkatan berbanding 2021, namun menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara kadar kitar semula kebangsaan adalah 31.52 peratus, amnya ia masih belum memuaskan kerana kebanyakan negara maju mencatatkan sekurang-kurangnya 60 peratus. 

Bagi meningkatkan kadar kitar semula, Ummi Kalthum berkata penyertaan setiap anggota masyarakat amat diperlukan, khususnya di peringkat domestik, dengan menjadikan amalan pengasingan sampah di rumah sebagai rutin harian.

Oleh itu, SWCorp menerusi program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS), turun padang bagi mendidik komuniti agar mengasingkan sisa pepejal menggunakan tong berbeza, membudayakan amalan menghargai sisa sebagai sumber pendapatan dan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah. 

“Program ini membantu penduduk, khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membuat kompos daripada sisa makanan, mengasingkan sisa pepejal menerusi tong kitar semula serta menghantar barangan kitar semula ke pusat-pusat kitar semula melalui kaedah mata ganjaran serta kaedah “Trash to Cash”. 

“Usaha ini bukan sahaja dapat melatih penduduk menguruskan sisa pepejal mereka secara sistematik, tetapi juga membantu mereka menjana pendapatan sampingan menerusi pengumpulan bahan kitar semula dan dijual ke pusat-pusat kitar semula, di samping membudayakan amalan kelestarian alam sekitar,” katanya. 

Kaedah “trash to cash” Ummi Kalthum berkata bagi menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk PPR, pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengambil inisiatif menjalankan kempen pertukaran sampah kepada potongan sewa rumah melalui program ‘1Komuniti 1Kitar Semula’ (1C1R).

“Kaedah ini mampu meringankan beban penduduk PPR kerana melalui konsep sistem barter ini, penduduk dapat mengumpul mata ganjaran yang kemudian ditebus sebagai bayaran sewa rumah dan barangan keperluan lain,” katanya.

Ujar beliau, selain PPR, pihaknya turut menubuhkan sebuah unit khas bagi memantau Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri dan kondominium dalam pelaksanaan program sama.

“Setakat ini, unit khas telah menjalankan pemantauan terhadap 175 daripada 1,743 JMB di seluruh Kuala Lumpur bagi memastikan mereka mematuhi Akta 672 iaitu menyediakan tempat pembuangan sampah serta mengasingkan sisa pepejal dan makanan mengikut kategori, di samping menyediakan tong khas untuk pengasingan sampah. 

“Namun, hanya 36 JMB yang mematuhi akta itu dengan 35 di Kuala Lumpur dan satu di Putrajaya,” katanya.

Menurut beliau, antara alasan yang diberikan oleh JMB yang gagal mematuhi akta itu ialah kekangan kewangan, tiada ruang serta tidak mendapat sokongan penduduk.

“Jika mereka tidak mematuhi Akta 672 iaitu mengasingkan sisa pepejal dan sampah sarap di kawasan mereka, mereka boleh dikenakan denda hingga RM1,000 setiap kali didapati bersalah,” katanya.

Asingkan sampan sarap di rumah Tegas beliau, yang diperlukan oleh JMB terbabit ialah kemahuan.

“JMB boleh mengeluarkan wang sebagai pelaburan untuk membeli tong-tong kitar semula bagi menggalakkan penghuni mengasingkan sampah mengikut kategori di bilik sampah. 

“Barang kitar semula ini kemudian dikumpul dan dijual kepada pihak ketiga atau terus dibawa ke pusat kitar semula, “Secara tidak langsung, mereka sudah pulang modal pembelian tong sampah untuk pengasingan sampah tadi.

Justeru, tiada lagi isu tidak cukup bajet untuk melakukan kitar semula 3R (Reduce, Reuse and Recycle),” tegas beliau. 

Ummi Kalthum berkata amalan kitar semula dan mengasingkan sampah sarap harus bermula di rumah dengan ibu bapa menyediakan tong berasingan mengikut kategori sampah.

“Galakkan anak-anak mengasingkan sampah di rumah dan manfaatkan sampah yang boleh dikitar semula dengan menjadikannya kraf ataupun dijual kepada pihak ketiga.

“Jika anak-anak berjaya melakukan satu daripada amalan kitar semula di rumah, hasil jualan barang-barang kitar semula itu boleh diberi kepada mereka sebagai ganjaran. 

“Guru-guru juga boleh menganjurkan pertandingan kitar semula di sekolah dengan menggalakkan murid-murid memanfaatkan bahan kitar semula bagi menghasilkan sesuatu yang berguna, seterusnya dijual kepada pihak ketiga untuk menjana pendapatan sekali gus dapat menyumbang kepada tabung sekolah,” katanya. 

Pusat kitar semula pandu lalu Ummi Kalthum berkata pihaknya telah membuka dua Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) iaitu di Jalan Tiong Nam dan Jalan Bunus 6 yang beroperasi sejak 1 Mac lepas, bagi memudahkan penduduk di kawasan sekitar menghantar bahanbahan terbuang yang boleh dikitar semula.

 Selain itu, SWCorp juga akan bekerjasama dengan pasar raya di sekitar ibu kota bagi mewujudkan pusat kitar semula pandu lalu di tanah lapang bersebelahan premis belibelah terbabit, memudahkan orang ramai yang mahu mengitar semula barangan terbuang mereka. 

“Orang ramai boleh memulakan langkah mengitar semula dengan mengasingkan plastik, kertas, tin aluminium dan sisa makanan,” katanya, menambah terdapat lebih 150 pusat kitar semula beroperasi di seluruh negara. 

Mulakan dengan tindakan kecil Sementara itu, koordinator program penjagaan sungai Pusat Alam Sekitar Global (GEC) Dr K Kalithasan berpandangan penguatkuasaan undang-undang terhadap individu atau premis yang tidak mengasingkan sampah sarap mereka mengikut kategori semata-mata tidak berkesan jika kesedaran mengenai kitar semula tidak dipupuk sejak kecil. 

“Kebanyakan orang tidak melakukan pengasingan sisa pepejal dan mengamalkan kitar semula di rumah kerana mereka mempunyai mentaliti bahawa kerja-kerja itu merupakan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Mereka beranggapan bahawa disebabkan mereka membayar cukai pintu kepada PBT, itu tanggungjawab PBT untuk mengasingkannya (sampah), buang sampah di merata tempat, itu tugas (dewan) bandar raya untuk membersihkannya,” katanya. 

Sehubungan itu kata beliau, pemikiran sedemikian harus diubah dan ibu bapa perlu menjalankan peranan mereka dengan menggalakkan anak masing-masing mengamalkan kitar semula sejak kecil. “Sama juga seperti membuang sisa plastik ke sungai. 

Jika ibu bapa tidak memberikan contoh yang baik, anak-anak akan terikut-ikut jejak langkah orang dewasa.

Ini berterusan hingga ke generasi seterusnya, dan akibatnya sungai kita tercemar, hidupan air seperti ikan mati,” katanya.

Kalithasan berkata pihaknya sentiasa mengadakan ceramah dan seminar tentang penjagaan sungai dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang bahaya sisa plastik yang dibuang ke dalam sungai atau longkang.

“Kami menerapkan kesedaran kepada masyarakat bahawa walau sekecil manapun tindakan mereka (dalam menjaga alam), impaknya amat besar terhadap alam sekitar. 

“Oleh itu, kami amat menggalakkan mereka untuk bermula dengan tindakan mudah dahulu dengan membuang sampah ke tempat yang disediakan sebelum mengasingkannya mengikut kategori,” katanya. – Bernama

BERITA LAIN

Jangan leka, scammer kewangan menunggu mangsa

KUALA LUMPUR: Pelbagai pendekatan dan peringatan dilaksanakan, baik oleh pihak berkuasa ataupun institusi perbankan, namun jenayah penipuan kewangan dalam talian di negara ini masih menunjukkan

Kurangkan sampah

KEHADIRAN sebuah van biru kekelabuan di kawasan petempatan elit Sri Hartamas, Kuala Lumpur sukar untuk dilepas pandang. Masakan tidak, keadaan van itu agak daif dan

Curi hati 50,000 pengunjung

PESTA Benak Sri Aman 2023 berjaya menggamit sekitar 50,000 pengunjung tempatan dan luar. Diperkenal sejak 2001, ia menjadikan Sri Aman atau Simanggang mendapat jolokan Bandar

Guna sagu hasilkan fabrik batik

MAKANAN berasaskan sagu mentah atau yang dibuat tepung sudah tidak asing bagi penduduk di Mukah, tidak kira sama ada ia untuk hidangan makanan berlauk ataupun

Lambakan bazar Ramadan

Berniaga di bazar Ramadan sememangnya menjadi rebutan peniaga sebagai “lubuk rezeki”. Malah, penglibatan golongan muda dalam bidang usahawan juga menyumbang kepada lambakan gerai ketika Ramadan.

BERITA TERBARU

PBB China sokong Palestin anggotai PBB

BEIJING: China menyokong Palestin menjadi anggota baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan berkenaan dengan secepat mungkin. Ini dinyatakan

Lelaki parah dipijak gajah di Gerik

IPOH: Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak gajah di Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, malam tadi. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar