KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk menaik taraf kemudahan klinik kesihatan di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar yang beroperasi lebih 40 tahun dalam keadaan daif dan serba kekurangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman berkata, kebanyakan klinik kesihatan di negeri ini masih tergolong dalam kategori jenis lima dan enam yang hanya menyediakan perkhidmatan asas.
Justeru, beliau mencadangkan agar klinik-klinik ini dinaik taraf sekurang-kurangnya ke tahap jenis empat yang menyediakan kemudahan lebih lengkap termasuk makmal diagnostik dan perkhidmatan x-ray.
“Terdapat keperluan mendesak untuk menyediakan perkhidmatan ambulans, makmal asas dan peralatan x-ray di klinik-klinik seluruh Sarawak, khususnya kawasan luar bandar,” katanya.
ADUN Pantai Damai itu berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Alat-Alat Perubatan dan Bukan Perubatan di Klinik Kesihatan Telaga Air, hari ini.
Abdul Rahman turut memberi jaminan akan mengusulkan perkara ini secara rasmi kepada KKM susulan keperluan yang semakin mendesak khususnya dengan pertambahan populasi semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga menekankan keperluan mewujudkan satu pelan standardisasi untuk pembangunan klinik-klinik baharu di negeri ini, seperti yang dilakukan pada sekolah daif agar pembangunan lebih menyeluruh dan terancang.
Sementara itu, mengenai Klinik Kesihatan Telaga Air, beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan tersebut memandangkan ia menyediakan perkhidmatan kepada sekitar 7,000 penduduk.
“Jika dahulu kita beranggapan pesakit boleh terus ke Kuching untuk rawatan, tetapi keperluan semasa menuntut agar klinik ini juga mampu menjalankan pemeriksaan awal seperti fungsi buah pinggang, hati, dan parameter darah tanpa perlu merujuk ke hospital,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa hanya Klinik Kesihatan Santubong daripada keseluruhan empat klinik di bawah Pantai Damai yang diberikan peruntukan bagi pembinaan klinik baharu setakat ini.
Untuk rekod, klinik kesihatan di seluruh negara diklasifikasikan kepada tujuh jenis, dibuat berdasarkan jumlah purata kedatangan pesakit dan anggaran populasi setempat serta jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
Klinik kesihatan jenis tiga antara yang paling lengkap dari segi perkhidmatan, sesuai untuk kawasan dengan populasi antara 30,000 hingga 50,000 orang.
Manakala, jenis empat dibina di kawasan berpopulasi antara 20,000 hingga 30,000 dan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk rawatan pesakit luar, rawatan kecemasan, pergigian, perkhidmatan makmal, farmasi dan x-ray.
Bagi kawasan berpenduduk antara 10,000 hingga 20,000, klinik kesihatan jenis lima disediakan. Walaupun mempunyai perkhidmatan yang agak menyeluruh tetapi sering kali tidak disediakan sepenuhnya.
Klinik kesihatan jenis enam dan tujuh pula direka untuk kawasan berpenduduk di bawah 10,000, dan kebanyakannya hanya menyediakan perkhidmatan asas termasuk rawatan pesakit luar, penjagaan ibu dan anak, farmasi dan makmal mini dengan kemudahan tambahan secara minimum.


