KKMM guna kepakaran Finas tingkatkan bakat digital

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menggunakan kepakaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi melatih dan meningkatkan kemahiran bakat-bakat rakyat Malaysia dalam dunia digital dan membawa lebih banyak peluang pekerjaan ke dalam negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKMM Shakib Ahmad Shahir berkata, dalam masa yang penuh mencabar ini, adalah amat penting untuk KKMM memastikan negara dapat mengekalkan kelestarian industri digital, terutamanya dalam seni digital dan kraf.

Beliau menyatakan demikian ketika persidangan maya mengenai Bakat Malaysia dan Penglibatan Finas dalam projek pasca produksi Berkelas Dunia -The Mandalorian dan Star Wars: Rise of SkyWalker di sini hari ini. Persidangan maya itu turut disertai Base Digital Production Sdn Bhd yang telah bekerjasama dengan Finas dalam menyediakan perkhidmatan kesan visual untuk Star Wars.

“Saya yakin dengan komitmen dan hasil terbaik Base Digital Production Sdn Bhd, kita berada pada landasan yang tepat untuk membentuk masa hadapan cerah industri digital Malaysia bersama bakat bertaraf dunia.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengurus Besar Base Digital Production Sdn Bhd Sailash Kumar.

Sebagai contoh Shakib berkata, kementerian itu telah memperkenalkan Insentif Pengambaran Filem di Malaysia (FIMI) bagi membawa lebih banyak peluang pekerjaan ke Malaysia, selain membolehkan bakat Malaysia memperoleh pengalaman berharga dalam bekerja untuk filem Hollywood.

Beliau berkata, FIMI juga bertindak sebagai satu pelaburan bagi menarik studio antarabangsa untuk bertemu syarikat berpangkalan di Malaysia seperti Base Digital Production Sdn Bhd, untuk menghasilkan kesan visual terbaik untuk filem mereka.

“FIMI memberikan subsidi 30 peratus kepada studio antarabangsa yang memberikan operasi pasca-produksi mereka dan memilih Malaysia sebagai lokasi pengambaran. Filem ‘The Mandalorian’ dan ‘Star Wars: Rise of Skywalker (episode IX)’ merupakan penerima insentif tersebut,” katanya.

FIMI dimulakan pada 2013 dan telah menerima pelaburan berjumlah RM1.06 bilion untuk 74 projek di dalam negara.  — BERNAMA